Putera mahkota Thailand pulang ke tanah air

Putera mahkota Thailand pulang ke tanah air

BANGKOK, 11 Nov – Putera Mahkota Thailand pulang ke negaranya hari ini selepas dua minggu berada di luar negara, sumber istana mengesahkan, walaupun masih lagi belum diketahui bila beliau secara rasminya akan menggantikan ayahandanya.

Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn, 64, meninggalkan Thailand bulan lalu, kira-kira dua minggu selepas ayahandanya Raja Bhumibol Adulyadej mangkat, menamatkan pemerintahan tujuh dekad.

Kemangkatannya telah mencetuskan kesedihan besar-besaran dan meninggalkan negara yang terpisah secara politik itu tanpa tiang perpaduan.

Walaupun Vajiralongkorn dinamakan sebagai pengganti, beliau telah mengejutkan ramai orang dan memecah tradisi dengan meminta untuk menangguhkan pengisytiharan sebagai raja bagi berkabung bersama-sama rakyat, menurut junta yang pada masa ini mentadbir negara berkenaan.

Putera itu, yang belum lagi mencapai kemasyhuran meluas ayahandanya, menghabiskan masanya di negara luar, terutamanya di selatan Jerman.

Dua sumber istana memberitahu AFP yang putera itu akan balik ke Thailand pada pagi hari ini dan akan menghadiri majlis tentera pada malamnya serta menjadi pengerusi majlis penyampaian ijazah di Universiti Thammasat Bangkok pada hujung minggu ini.

Pada Isnin, beliau dirancang akan menghadiri acara kebudayaan tahunan di Pattani, sebuah wilayah yang majoritinya penduduk beragama Islam di selatan jauh Thailand, menurut jadual rasmi yang dilihat oleh AFP.

Kerajaan tidak memberikan tarikh tertentu bila beliau secara rasminya akan menaiki takhta. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA