Putera William sekeluarga akhiri lawatan Kanada

Putera William sekeluarga akhiri lawatan Kanada

VICTORIA, British Columbia, 2 Okt – Putera George membiarkan ‘high-five’ dan jabat tangan daripada seorang lagi warga Kanada tidak berbalas, seminggu selepas melakukan yang sama kepada Perdana Menteri Justin Trudeau.

George, 3, yang mengenakan seluar panjang merah dan baju sejuk berwarna biru dengan memakai stoking biru paras lutut, dengan penuh bersemangat melambai-lambai ke arah orang ramai dengan kedua-dua tangannya semalam, sejurus sebelum dia, adinda puterinya, ayahanda dan ibundanya menaiki pesawat laut pada majlis perpisahan pada akhir lawatan rasmi ke Barat Kanada.

Bakal raja yang pemalu itu enggan membalas ‘high-five’ dan jabat tangan daripada seorang budak lelaki pembawa bunga bernama Daniel Brachman. Sebaliknya dia memandang ke arah ayahandanya, Putera William.

Apabila George tiba seminggu lalu di lapangan terbang Victoria, George juga tidak membalas high-five dan huluran tangan Trudeau.

William dan Kate, Duke dan Duchess of Cambridge, bersama Putera George dan Puteri Charlotte ketika hendak menaiki pesawat untuk berlepas meninggalkan Victoria, British Columbia. – AP
William dan Kate, Duke dan Duchess of Cambridge, bersama Putera George dan Puteri Charlotte ketika hendak menaiki pesawat untuk berlepas meninggalkan Victoria, British Columbia. – AP

Majlis perpisahan semalam adalah satu-satunya peluang orang ramai untuk melihat George dan Charlotte, berusia setahun, dalam lawatan itu.

Pihak media telah menemuinya dua kali – pada majlis keberangkatan di lapangan terbang dan pesta kanak-kanak bagi keluarga tentera.

Putera William dan Kate melahirkan penghargaan mereka di atas sambutan hangat yang mereka terima daripada rakyat Kanada apabila mereka menamatkan lawatan mereka ke Kanada, bekas jajahan Britain.

William berkata lawatan itu adalah lawatan tidak dapat dilupakan kerana ia adalah lawatan rasmi pertama mereka empat sekeluarga. “Kami merasa sangat bernasib baik dapat memperkenalkan George dan Charlotte kepada Kanada,” kata William dalam satu kenyataan.

“Negara ini akan memainkan peranan besar dalam kehidupan anak-anak kami dan kami telah mewujudkan memori bahagia bagi keluarga kami ketika lawatan ini.”

Awal semalam, William dan Kate merasmikan sebuah patung di Victoria, British Colombia yang memberi penghormatan kepada mereka yang mengatasi cabaran-cabaran di Cridge Centre for the Family, pertubuhan bukan untung yang menawarkan program-program bagi mereka yang mengalami kecederaan dan mangsa-mangsa keganasan rumah tangga dan menyediakan penjagaan kesihatan. – AP