Putin ‘dapatkan simpati’ di Itali

Putin ‘dapatkan simpati’ di Itali

ROM, 10 Jun (AFP) – Presiden Vladimir Putin yang kini diasingkan masyarakat antarabangsa membuat perjalanan antarabangsa yang jarang berlaku hari ini, dengan membuat lawatan berprofil tinggi ke Itali dan Vatican, dua hari selepas Kumpulan Tujuh (G7) mengancam beliau dengan sekatan lebih keras berhubung isu Ukraine.

Presiden Rusia itu dijadualkan berada di Milan untuk lawatan ke pavilion negaranya pada Ekspo Dunia dan akan membuat perjalanan ke Rom, di mana para audiens dan Pope Francis dijangka memberikan tumpuan ke aras isu Ukraine di tengah-tengah kebimbangan gencatan senjata kali kedua yang dipersetujui pada Februari tidak akan dipatuhi.

Di Milan, Putin akan disambut oleh Perdana Menteri Matteo Renzi, salah seorang pemimpin G7 yang menandatangani amaran pada Isnin yang kuasa-kuasa besar “bersedia mengambil langkah lebih keras ke atas Rusia jika ia masih bertindak tidak mengikut undang-undang antarabangsa.”

Kenyataan itu menggambarkan keprihatinan mengenai peningkatan kemelut di timur Ukraine, di mana Barat menuduh Rusia memberikan sokongan ketenteraan kepada pemberontak pro-Rusia yang mengawal sebahagian dua wilayah berbahasa Rusia itu.

Presiden Putin menyampaikan ucapan tatkala melawat Ekspo Milano 2015, pameran antarabangsa yang turut disertai negaranya di Milan pada 10 Jun 2015. – AFP
Presiden Putin menyampaikan ucapan tatkala melawat Ekspo Milano 2015, pameran antarabangsa yang turut disertai negaranya di Milan pada 10 Jun 2015. – AFP

Ukraine minggu ini berkata bantuan Rusia membolehkan pasukan pemisah di timur untuk mewujudkan kumpulan pejuang sehingga 42,500 orang.

Putin pula berkata mana-mana warga Rusia yang berjuang bersama-sama para pemberontak adalah anggota sukarelawan yang “menjawab panggilan hati nurani mereka.”

Itali sudah lama menjalin hubungan ekonomi yang penting dengan Rusia dan hubungan politik adalah amat akrab sebelum meletusnya krisis Ukraine.

Menurut Kementerian Luar, Itali adalah rakan dagangan ketiga terbesar Rusia selepas China dan Jerman.

ARTIKEL YANG SAMA