Putin, Hollande setuju selaras serangan terhadap IS

Putin, Hollande setuju selaras serangan terhadap IS

MOSCOW, 27 Nov (AFP) – Presiden Perancis, Francois Hollande, dan Presiden Russia, Vladimir Putin bersetuju bagi menyelaraskan serangan terhadap IS tetapi perbezaan pendapat berhubung masa depan Syria menjejaskan usaha membawa Rusia ke dalam pakatan memerangi kumpulan militan itu.

Putin memberi bayangan bahawa Perancis dan Rusia akan bertukar maklumat bagi membantu mengenal pasti sasaran IS di Syria, berbanding kumpulan lain yang menentang pemimpin negara itu, Bashar al-Assad.

“Kedua-dua negara bersetuju bertukar maklumat mengenai wilayah mana yang diduduki kumpulan penentang, bukannya pengganas dan akan mengelak daripada menyasarkan mereka dengan serangan udara kami,” kata Putin.

Putin dan Hollande pada sidang akhbar selepas mesyuarat mereka di Moscow, Rusia. - Reuters
Putin dan Hollande pada sidang akhbar selepas mesyuarat mereka di Moscow, Rusia. – Reuters

“Serangan ke atas Daesh (IS) akan dipertingkatkan dan akan diselaraskan,” kata Hollande pada sidang media selepas pertemuan selama 90 minit di Kremlin.

Persetujuan bagi menumpukan sasaran IS adalah kemajuan paling konkrit dalam usaha Hollande menyusun pakatan lebih luas bagi menghancurkan IS selepas serangan di Paris pada 13 November lalu.