Putin tuduh Turki lindungi minyak IS

Putin tuduh Turki lindungi minyak IS

LE BOURGET, Perancis, 1 Dis (AFP) – Presiden Rusia, Vladimir Putin, menuduh Ankara menembak jatuh sebuah pesawat pejuang Rusia bagi melindungi bekalan minyak kumpulan IS ke Turki, selepas tidak mempedulikan rakan sejawatannya dari Turki di sidang kemuncak perubahan iklim di Perancis.

Kenyataan Putin berhubung insiden minggu lalu itu dibuat ketika mayat seorang juruterbang yang terbunuh dalam insiden itu dibawa balik ke di Rusia. Pihak berkuasa Turki sekali lagi berikrar tidak akan memohon maaf terhadap insiden itu ketika Rusia mengenakan sekatan sebagai tindak balas ekonomi.

Selepas menolak tawaran pemimpin Turki, Recep Tayyip Erdogan, supaya mereka bertemu di luar sidang kemuncak itu, Putin menuduh Ankara berniat untuk melindungi eksport minyak IS – sumber penting dana bagi kumpulan militan itu.

“Kami mempunyai segala alasan untuk memikirkan bahawa keputusan menembak jatuh pesawat kami adalah diarahkan dengan keinginan melindungi bekalan minyak ke wilayah Turki, terus ke pelabuhan di mana ia diisi dalam tong,” kata Putin.

Presiden Vladimir Putin mengadakan sidang media semasa Persidangan COP21 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Paris semalam. – AFP
Presiden Vladimir Putin mengadakan sidang media semasa Persidangan COP21 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Paris semalam. – AFP

“Kami menerima maklumat tambahan yang malangnya menunjukkan minyak yang dikeluarkan di kawasan yang dikuasai IS, diangkut secara skala perindustrian ke Turki,” kata Putin.

Erdogan berkata, beliau bersedia untuk melepaskan jawatan jika tuduhan itu dibuktikan benar.

Dalam perkembangan lain, Turki semalam menghantar pulang mayat seorang juruterbang jet pejuang Sukhoi-24 yang terbunuh ketika pesawat yang dipandunya ditembak jatuh tentera udara Turki selepas didapati menceroboh ruang udara negara itu di sempadan Syria.

Penerbangan khas membawa mayat Oleg Peshkov meninggalkan lapangan terbang Ankara menuju ke Rusia, lapor agensi berita Anatolia tanpa memberikan butiran lanjut.

Mayat Oleg Peshkov diambil dari Syria pada hujung minggu lalu dan dibawa ke selatan Turki sebelum diterbangkan ke Ankara.