Puting beliung landa Mexico, ragut 13 jiwa

Puting beliung landa Mexico, ragut 13 jiwa

CIUDAD, ACUNA, Mexico, 26 Mei (AFP) – Kira-kira 13 orang terbunuh dan berbelas-belas lagi tercedera apabila puting beliung aneh melanda Ciudad Acuna, utara bandar Mexico pagi semalam, yang menterbalikkan kereta dan meruntuhkan rumah, menurut pihak kerajaan.

Antara yang terkorban ialah tiga orang kanak-kanak apabila puting beliung itu memusnahkan kira-kira 750 buah rumah di bandar seluruh Rio Grande dari Del Rio, Texas, menurut Jesus Garcia, jurucakap bagi kerajaan setempat, Coahuila.

Tembok dan siling runtuh akibat kekuatan puting beliung yang bergerak pada kelajuan kira-kira 50km sejam dan bertiup lebih 124 bsj, menurut kerajaan lagi, dengan bandar sempadan tidak bersedia pada awal waktu semalam.

Presiden Enrique Pena Nieto melihat kerosakan akibat landaan puting beliung dari paras udara dan darat lewat malam semalam.

“Ini adalah peristiwa mengejutkan, bencana yang berlaku tanpa sebarang amaran daripada satelit atau mana-mana jenis sistem yang memantau peristiwa seumpama itu,” katanya ketika memberi penerangan ringkas bersama para pegawai tempatan, negeri dan persekutuan.

Orang ramai meninjau beberapa buah kenderaan yang musnah akibat puting beliung di Ciudad Acuna, Mexico. – AFP
Orang ramai meninjau beberapa buah kenderaan yang musnah akibat puting beliung di Ciudad Acuna, Mexico. – AFP

Laluan kemusnahan puting beliung sejauh 1.8 km melalui bandar itu.

“Kami tidak biasa dengan kemusnahan seumpama ini,” datuk bandar Ciudad Acuna, Evaristo Lenin Perez memberitahu radio tempatan,

“Kami tidak ada rekod tentang puting beliung yang berlaku di Acuna, bandar berusia 110 tahun.”

“Kebanyakan yang terbunuh adalah mereka yang berada di luar, bukan mereka yang berada di dalam rumah mereka.”

Bilangan yang tercedera ialah seramai 290 orang, manakala 44 orang lagi masih dirawat di hospital, menurut kementerian kesihatan.

Seorang jurucakap Perkhidmatan Meteorologi Kebangsaan berkata itu adalah puting beliung paling kuat dalam tempoh kira-kira 15 tahun di Mexico.

Penemuan awal menunjukkan ia dicatatkan antara gred EF2 dan EF3 pada Skala Enhanced Fujita, menurut jurucakap itu lagi.

Sementara itu kira-kira 4,900 orang pengguna tidak menerima bekalan elektrik di kawasan itu, menurut utiliti elektrik kebangsaan CFE, manakala bekalan sepenuhnya dijangkakan pada pertengahan minggu ini.

Selepas puting beliung melanda bandar itu, gambar-gambar memaparkan kanak-kanak memanjat kereta-kereta yang telah remuk yang dihanyutkan ke rumah mereka, manakala orang dewasa menyelamatkan barangan berharga daripada runtuhan.