Puting beliung ragut 98 jiwa

Puting beliung ragut 98 jiwa

YANCHENG, China, 24 Jun (AFP) – Kakitangan kecemasan di China meningkatkan usaha mencari di tengah-tengah kematian yang banyak hari ini ketika angka kematian akibat angin puting beliung dan angin ribut meningkat kepada 98 orang, dengan beratus-ratus lagi cedera.

Seluruh kampung menjadi rata dan pokok-pokok besar tumbang apabila angin dengan kelajuan sehingga 125 kilometer sejam melanda sekitar bandar Yancheng di wilayah timur Jiangsu, menurut para pegawai agensi berita Xinhua.

Setakat ini 98 orang disahkan terbunuh dan kira-kira 800 orang cedera, menurut kerajaan wilayah di laman sesawang rasminya.

Presiden Xi Jinping mengarahkan ‘usaha menyelamat besar-besaran’ selepas apa yang menurut Xinhua adalah salah satu bencana paling teruk pernah melanda Jiangsu, termasuklah angin ribut teruk yang melanda China dalam tempoh setengah abad.

Di wilayah Funing, salah sebuah kawasan yang paling teruk terjejas, para penduduk mencari-cari mangsa di antara batu bata yang runtuh dan tiang-tiang rumah mereka yang telah musnah, kebanyakan atap rumah koyak dan tembok-tembok runtuh. Runtuhan melimpahi sungai yang berliku-liku melalui bandar itu.

Seorang penduduk kampung duduk di hadapan sebuah rumah musnah selepas puting beliung melanda Funing di Yancheng, wilayah Jiangsu, China pada 24 Jun. – AFP
Seorang penduduk kampung duduk di hadapan sebuah rumah musnah selepas puting beliung melanda Funing di Yancheng, wilayah Jiangsu, China pada 24 Jun. – AFP

Penduduk Funing, Sun Yazhou sedang memandu lori penggaul konkrit apabila angin ribut melintasinya, yang mengakibatkan cermin jendela lorinya tercabut.

“Langit gelap sepenuhnya. Saya berasa takut, tetapi tidak ada tempat hendak dituju. Saya terpaksa menanti di luar,” ujarnya kepada AFP.

Zhou Xiang, ketua pasukan bomba wilayah, mengatakan usaha mencari bagi para mangsa dalam serpihan-serpihan telah selesai, menurut Xinhua, dan kerja pembersihan sedang dijalankan.

Lebih 1,300 orang pegawai polis telah dikerah untuk membantu, tambah agensi itu.

Wad-wad di hospital di wilayah Funing semuanya penuh, dengan katil tambahan memenuhi ruang depan.

Seorang pekerja kilang yang mengalami kecederaan di kepala dan tangan dan diberikan rawatan intravena memberitahu AFP bahawa dia dihanyutkan hingga keluar tempat kerja oleh angin ribut itu, walaupun dia berpaut pada pintu ketika dia cuba terus menutup pintu.

“Semuanya berlaku begitu pantas. Saya tidak pernah melihat keadaan seperti ini sebelum ini. Saya menyangka, pasti saya akan mati. Sukar saya percaya bahawa saya masih hidup,” tambahnya.