Putra Perdana dapat kontrak RM408 juta

Putra Perdana dapat kontrak RM408 juta

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Anak syarikat Putrajaya Perdana Bhd, Putra Perdana Construction Sdn Bhd (PPC) telah berjaya meraih kontrak sebanyak RM408 juta bagi membina sebuah pangsapuri servis 17 tingkat untuk Sime Darby Ara Damansara Development Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Goh Ceah Chuang berkata projek ‘Cantara Residences’ itu, dijangka siap menjelang Mei 2019, akan menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan syarikat.

“Dengan kontrak RM408 juta ini dan dengan tempahan dalam tangan semasa, kami yakin akan dapat mengekalkan prestasi positif bagi kumpulan untuk tahun kewangan yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Projek di Ara Damansara itu, yang merangkumi kawasan seluas 288.14 hektar tanah tersebut mengandungi 756 pangsapuri servis.

Sebanyak sembilan tingkat lagi, yang mengandungi 108 unit pangsapuri servis akan dibina di atas podium yang berada di aras enam.

Projek ‘Cantara Residences’ yang terbaharu ini membawakan jumlah nilai projek-projek yang diperolehi PPC pada 2016 kepada lebih kurang RM765 juta.

Sehingga 31 Disember 2016, tempahan dalam tangan dan tender terkumpul PPC, masing-masing adalah sebanyak kira-kira RM1.25 bilion dan RM1.93 bilion.

PPC sekarang ini sedang mengemukakan tender bagi kontrak bernilai kira-kira RM6 bilion.

Lain-lain projek yang ditender dan dimenangi oleh PPC dalam 2016 termasuk ‘28 Boulevard’ yang bernilai RM370 juta, dibangunkan oleh Best Boulevard Sdn Bhd dan Dermaga 300m Westport CT8 yang dimiliki oleh Westports Malaysia Bhd dengan harga RM126.5 juta. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA