Putrajaya menjadi hab penyelidikan kelulut

Putrajaya menjadi hab penyelidikan kelulut

PUTRAJAYA, 20 Mac (Bernama) – Perbadanan Putrajaya (PPj) mencadangkan supaya Putrajaya dijadikan pusat rujukan serta hab pendidikan dan penyelidikan industri kelulut negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Hasim Ismail berkata ia sejajar kedudukan madu kelulut sebagai produk kesihatan yang menerima banyak permintaan dari dalam serta luar selain berpotensi tinggi.

Buat permulaan, PPj menawarkan Taman Rimba Alam di Presint 15 di sini, sebagai lokasi ‘urban beescape’ (gabungan persekitaran mesra lebah) kerana kaya pelbagai spesis pohon menghasilkan getah damar yang diperlukan bagi membuat sarang kelulut.

“Ini membantu pembiakan kelulut di Putrajaya. Malah, 40 peratus daripada Putrajaya adalah kawasan hijau kaya pelbagai biodiversiti. Saya sendiri berpendapat industri kelulut ini mampu dikembangkan di Putrajaya.

“PPj telah mengambil langkah proaktif menerapkan kelulut yang juga satu lagi khazanah negara, ke dalam taman ini,” katanya selepas merasmikan Karnival Kelulut Putrajaya 2016 (Peringkat ASEAN) di Taman Botani di Presint 1 di sini.

Datuk Seri Hasim Ismail mencuba menyedut madu kelulut daripada sarang menggunakan alat sedutan pada Karnival Kelulut Putrajaya 2016 Peringkat ASEAN di Taman Botani Putrajaya, Sabtu lalu. - Bernama
Datuk Seri Hasim Ismail mencuba menyedut madu kelulut daripada sarang menggunakan alat sedutan pada Karnival Kelulut Putrajaya 2016 Peringkat ASEAN di Taman Botani Putrajaya, Sabtu lalu. – Bernama

Lebih 25 pengusaha-pengusaha kelulut, agensi serta jabatan kerajaan menyertai acara selama tiga hari bermula Sabtu.

Hasim berkata, sejajar usaha itu, PPj akan bekerjasama dengan komuniti sekitar Taman Rimba Alam selain menjalin kolaborasi dengan agensi kerajaan seperti Insitut Genom Malaysia, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian serta Akademi Kelulut Malaysia.

Lebah kelulut atau nama saintiknya Trigona spp, mempunyai lebih 500 spesies di serata dunia termasuk Malaysia yang memiliki 39 spesies kelulut Indo-Malaya yang gemarkan habitat hutan hujan tropika.

“Ia antara spesies lebah yang tidak menyengat serta menghasilkan madu bermutu tinggi, baik untuk kesihatan dan setanding madu Manuka New Zealand serta dari Yaman,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap, Hasim berkata kepesatan industri kelulut menjadi pemangkin bagi PPj menjadikan Putrajaya sebagai hab pemprosesan propolis pertama di Malaysia.

Propolis adalah antara bahan sebatian dihasilkan kelulut selain madu.

“Kajian mendapati kualiti propolis kelulut sangat tinggi dari segi kandungan antioksidanya manakala kandungan fenol adalah 320 kali ganda lebih banyak berbanding epal merah,” katanya.