PWM anjur Larian Amal Muhibah

PWM anjur Larian Amal Muhibah

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt – Hubungan erat dan mesra antara rakyat merupakan salah satu kaedah yang terbaik untuk mengeratkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala yang sekian lama terjalin di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.

Oleh itu, usaha Persatuan Warganegara Malaysia (PWM) untuk mengadakan Larian Amal Warna-warni Muhibah merupakan satu inisiatif yang amat dialu-alukan kerana bukan sahaja ia menunjukkan komitmen PWM untuk membantu mereka yang memerlukan tetapi ia merapatkan lagi hubungan di antara rakyat kedua-dua buah negara melalui acara kebajikan.

Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Dayang Hasnah binti Hashim pada sidang media mengenai Larian Amal Warna-warni Muhibah yang berlangsung di Traders Inn, Jalan Gadong, hari ini.

Terdahulu dari itu, Presiden PWM, James Lee berkata bahawa PWM akan mengadakan acara larian amal, Larian Amal Warna-warni Muhibah 2015, pada 29 November yang akan berlangsung di Stadium Tertutup, Berakas bermula pukul 7 pagi.

Acara larian amal itu, jelasnya lagi mendapat sokongan dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam dan hasil kutipan amal akan diserahkan kepada Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) bagi membantu persatuan itu dalam kerja-kerja amal yang dilaksanakan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Para penganjur dan wakil penaja acara larian amal bergambar-ramai di akhir sesi sidang media tersebut.
Para penganjur dan wakil penaja acara larian amal bergambar-ramai di akhir sesi sidang media tersebut.

Beliau menambah larian amal itu dihasratkan untuk mempromosikan semangat muhibah dan mengeratkan lagi kerjasama, persefahaman dan harmoni di kalangan ahli PWM serta masyarakat-masyarakat lain di Negara Brunei Darussalam. Beliau turut berkata acara itu bermatlamat untuk mengutip dana bagi Majlis Kesejahteraan Masyarakat serta untuk menggalakkan amalan gaya hidup yang sihat.

Sementara itu, Naib Presiden Kebajikan Sosial PWM dan Pengerusi Larian Amal itu, Raja Segaran, berkata larian itu akan diadakan pada 29 November nanti bermula pukul 7 pagi dan pek larian boleh dikutip dari Lobi tingkat satu, Zon 4, Stadium Tertutup bermula 26 hingga 28 November bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang kecuali Jumaat bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari dan dari pukul 2.30 petang hingga 5 petang.

Acara larian itu dibahagikan kepada 3 kategori iaitu kategori A terbuka, 5 kilometer lelaki dan perempuan bagi yang berusia 12 tahun ke atas, kategori B veteran, 5 kilometer lelaki dan wanita bagi yang berusia 45 tahun ke atas dan kategori C, larian 3 kilometer yang dibukakan kepada semua peringkat umur dengan penyertaan adalah terhad kepada 2,000 peserta sahaja.

Beliau berkata borang penyertaan dan syarat serta maklumat lanjut mengenai larian amal berkenaan boleh dimuat turun dari laman sesawang PWM, www.pwm.com.bn. Yuran bagi menyertai larian amal itu adalah $35 bagi larian 5 kilometer dan $30 bagi larian 3 kilometer dengan pembayaran boleh dibuat kepada akaun Bank BIBD, Persatuan Warganegara Malaysia, Akaun Bank No: 00-015-01-0036386 atau membayar terus bersama-sama borang pendaftaran ke Pejabat Sekretariat, Traders Inn Hotel, Business Centre, Blok D, Lot 11620, Jalan Gadong, Bandar Seri Begawan.

Bagi mereka yang menyertai larian itu, setiap pek larian akan mengandungi baju kemeja T larian, nombor bib larian, kaca mata, pingat eksklusif larian dan sijil penyertaan di mana pingat menamatkan perlumbaan itu akan diberikan apabila mereka melalui garisan penamat.

Satu keistimewaan larian itu adalah ia mempunyai zon warna-warni di mana para peserta boleh melalui zon-zon warna khusus di mana serbuk warna akan dilontar ke atas mereka iaitu warna kuning, biru dan merah jambu.

Raja menjelaskan bahawa serbuk warna yang digunakan adalah selamat dan 100 peratus diperbuat dari bahan asli menggunakan tepung jagung berkualiti dan gred tinggi serta mudah untuk dibersihkan.

Beliau juga berkata bahawa bagi mereka yang tidak mahu melalui zon warna berkenaan , zon-zon tanpa warna khas juga telah disediakan di mana garisan penamat bagi peserta yang melalui zon warna atau zon tanpa warna adalah yang sama.

Beliau menyeru para peserta yang melalui zon warna untuk memakai kaca mata yang disediakan sebagai langkah keselamatan dan sukarelawan yang melontar serbuk warna juga diberikan arahan khusus untuk tidak melontarkan serbuk berkenaan ke arah muka para peserta.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk bersama-sama menyertai acara larian amal yang seronok itu kerana melalui aktiviti itu mereka bukan sahaja mampu beriadah bersama-sama keluarga atau sahabat-handai tetapi mereka juga boleh beramal sambil beriadah.

Poster bagi larian amal berkenaan.
Poster bagi larian amal berkenaan.