Pyongyang ancam Korea Selatan

Pyongyang ancam Korea Selatan

SEOUL, 22 Nov (AFP) – Korea Utara memberi amaran akan melancarkan serangan ‘tanpa belas kasihan’ terhadap pulau Korea Selatan jika Seoul mengadakan latihan bedilan di sempadan maritim pada ulang tahun kelima serangan maut Pyongyang.

Bedilan ke atas Pulau Yeonpyeong di perairan pantai barat pada 23 November 2010 meragut nyawa empat rakyat Korea Selatan dan mencetuskan kebimbangan meletusnya peperangan.

Tentera Korea Selatan sebelum ini mengadakan latihan bedilan berhampiran sempadan Laut Kuning pada setiap kali ulang tahun peristiwa itu sebagai menunjukkan kekuatan.

Pemerintah Barisan Hadapan Barat Daya Korea Utara yang bertanggungjawab mengawal sempadan itu mendakwa Seoul merancang mengadakan latihan bedilan bagi menandakan ulang tahun kelima peristiwa itu.

“Jika tentera Korea Selatan membedil di perairan (Korea Utara) pada Isnin, mereka akan mengalami tindak balas tanpa belas kasihan daripada unit Barisan Hadapan Barat Daya di lima pulau sempadan itu,” menurut kenyataan yang disiarkan Korean Central News Agency.

Tidak diketahui sama ada Korea Selatan akan mengadakan latihan itu.

Pyongyang yang terkenal kerana sering memberi amaran, jarang mengotakan ancaman itu.

Sempadan Laut Kuning yang digariskan pasukan PBB yang diketuai Amerika Syarikat pada akhir Perang Korea dan tidak diiktiraf Pyongyang, menyaksikan pertempuran maritim pada 1999, 2002 dan 2009.

ARTIKEL YANG SAMA