Pyongyang bebaskan tahanan warga Kanada

SEOUL, 11 Ogos – Paderi warga Kanada yang ditahan di Korea Utara akhirnya dibebaskan atas sebab masalah kesihatan, memetik sumber media tempatan pada Rabu, lapor agensi berita Turki Anadolu (AA).

Lim Hyeon-su, 62, dijatuhkan hukuman kerja berat seumur hidup pada Disember 2015 oleh sebuah mahkamah tinggi di Pyongyang kerana dituduh merancang menjatuhkan kerajaan.

Lim menjadi tahanan yang dikenakan hukuman paling lama di Korea Utara. Anggota keluarga Lim kemudian mendesak Kanada membantu membebaskannya.

Selasa lepas, penasihat keselamatan dan kebangsaan Daniel Jean yang mewakili Kanada dilaporkan berada di Pyongyang untuk berunding berhubung pembebasan paderi berkenaan.

Rundingan diadakan susulan surat dihantar Lim kepada rakannya yang mengatakan, sejak awal tahun beliau sering menghadapi tekanan darah tinggi dan sakit di bahagian perut. – AFP