Pyongyang bertindak balas propaganda Selatan

Pyongyang bertindak balas propaganda Selatan

SEOUL, 18 Ogos – Korea Utara semalam meneruskan kempen propaganda di sepanjang sempadannya dengan Korea Selatan, beberapa hari selepas Korea Selatan mengambil langkah yang sama dalam respons kepada letupan periuk api di Zon Bebas Tentera (DMZ).

Ketegangan di antara Pyongyang dan Seoul semakin meningkat tatkala tentera Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan memulakan latihan tentera bersama tahunan semalam yang dibantah oleh Utara.

Pada 4 Ogos, dua anggota tentera Korea Selatan mengalami kecederaan akibat periuk api di zon bebas tentera itu, yang dikatakan oleh Seoul ditanam oleh Utara. Korea Utara menafikan terlibat.

Seminggu kemudian, Selatan mulai menggunakan pembesar suara untuk menghebahkan retorik anti-Pyongyang di kawasan barat dan tengah sempadan, meneruskan amalan yang digantung oleh kedua-dua pihak sejak 2004.

“Kami difahamkan tentera Korea Utara telah meneruskan propaganda anti-Korea Selatan yang dihebahkan menerusi pembesar suara di beberapa kawasan timur sempadan kami,” kata seorang pegawai kementerian pertahanan Korea Selatan.

Korea Selatan merancang menyebar penghebahannya sendiri, kata pegawai, tanpa memberikan butir lanjut, memetik ciri-ciri rahsia perang psikologi.

Pada Sabtu, Korea Utara menuntut Selatan menghentikan penghebahan, atau menghadapi tindakan tentera dalam apa yang digelarnya “deklarasi perang.” – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA