Pyongyang bidas kritikan Kanada

Pyongyang bidas kritikan Kanada

SEOUL, 23 Dis (AFP) – Korea Utara membidas Kanada kerana mengkritik penghukuman ‘adil dan saksama’ ke atas pastor Toronto berusia 60 tahun yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan kerja berat.

Mahkamah Tinggi negara Komunis minggu lalu telah menjatuhi hukuman penjara seumur hidup ke atas Hyeon Soo Lim, dengan merujuk kepada perlakuan ‘subversifnya’ ke atas kerajaan.

Lim, kelahiran Korea Selatan, seorang menteri di Gereja Light Korean Presbyterian di Toronto adalah mubaligh asing terbaru yang diberkas, dihantar pulang atau di penjara kerana didakwa campur tangan dalam hal ehwal Korea Utara. Ottawa membidas pelaksanaan hukuman ke atas Lim dengan berkata ia ‘terkejut dengan hukuman terlampau berat itu, terutamanya memandangkan usia dan kesihatannya tidak mengizinkan.”

Dalam kenyataan yang disiarkan oleh agensi rasmi Pyongyang, Agensi Berita Pusat Korea lewat semalam, seorang jurucakap kementerian luar berkata Kanada ‘tidak mempunyai justifikasi sah untuk mencari kesalahan’ dengan Pyongyang.

“Sangat mengejutkan kerajaan Kanada menuduh Korea Utara tentang pengadilannya yang adil dan saksama, dengan menyifatkannya sebagai mencabuli undang-undang antarabangsa yang mencetuskan kebimbangan,” ujarnya.

Jurucakap itu berkata Korea Utara telah membenarkan delegasi Kanada untuk memerhati perbicaraan dan membenarkan Lim berhubung dengan para pegawai konsul selepas penyiasatan selesai. “Respons kasar dan tidak wajar pihak Kanada akan hanya membuatkan situasi lebih rumit,” katanya.

Lim, yang telah berbelas-belas kali mengunjungi Korea Utara, telah diberkas pada Januari lalu.

ARTIKEL YANG SAMA