Pyongyang kritik latihan tentera Korea S

Pyongyang kritik latihan tentera Korea S

SEOUL, 24 Nov (AFP) – Korea Utara hari ini dengan pedas mengkritik Korea Selatan kerana melancarkan latihan peluru hidup berhampiran sempadan laut yang dipertikaikan kedua-dua negara itu, dengan membayangkan ia mungkin memberi respons terhadap ‘konfrontasi’ Seoul, beberapa hari sebelum kedua-dua negara bermusuhan itu dijangka mengadakan rundingan yang dibentuk untuk memulihkan hubungan.

Seorang jurucakap bagi Suruhanjaya pertahanan Kebangsaan berpengaruh Korea Utara (NDC) menyifatkan latihan yang diadakan semalam sebagai ‘provokasi ketenteraan paling kejam’ yang bertujuan berkonfrontasi dan ‘ancaman perang semberono’, menurut agensi kerajaan, Agensi Berita Pusat Korea.

Di sebalik amaran Korea Utara tentang kemungkinan balasan ‘tanpa belas kasihan’, Seoul mengadakan latihan sekitar kepulauan barisan hadapan di Laut Kuning untuk memperingati ulang tahun bedilan maut Korea Utara ke atas salah sebuah pulau lima tahun lalu, menurut kementerian pertahanan Korea Selatan.

Bagaimanapun jurucakap NDC menambah ‘pihak berkuasa Korea Selatan jelas menunjukkan lagi perseteruan mereka dan dasar berkonfrontasi terhadap Korea Utara, masih tidak berubah,” lapor KCNA.

“Sangat jelas apakah kesannya dari konfrontasi seumpama itu yang mereka adakan, apabila pelbagai isu-isu yang belum selesai antara Korea Utara dan Korea Selatan dalam agenda. Kami akan mengikut pendirian pihak berkuasa Korea Selatan.”

Tentera Korea Selatan ketika mempersembahkan seni mempertahankan diri semasa upacara memperingati ulang tahun ke-5 pengeboman Korea Utara di Pulau Yeonpyeong. – AFP
Tentera Korea Selatan ketika mempersembahkan seni mempertahankan diri semasa upacara memperingati ulang tahun ke-5 pengeboman Korea Utara di Pulau Yeonpyeong. – AFP

Seoul berikrar akan membalas balik segera jika Korea Utara melancarkan sebarang provokasi.

“Saya mahu ketenteraan kita membina postur hebat kesediaan gempur supaya mereka boleh menangani sebarang jenis ancaman atau provokasi tanpa teragak-agak,” Presiden Park Geun-Hye berkata dalam mesej video pada satu majlis ulang tahun semalam.

Dua negara Korea pada hari Khamis akan mengadakan rundingan luar biasa yang bertujuan mengadakan dialog peringkat tertinggi yang mungkin memberi asas bagi peningkatan berdaya tahan dalam hubungan.

Rundingan di kampung kedamaian sementara sempadan, Panmunjom akan menjadi interaksi pertama antara kerajaan sejak para pegawai mengadakan pertemuan di sana pada Ogos untuk menamatkan krisis yang telah menyeret kedua belah pihak ke kancah konflik bersenjata.

ARTIKEL YANG SAMA