Pyongyang meriah sempena pelantikan ‘Pengerusi Kim’

Pyongyang meriah sempena pelantikan ‘Pengerusi Kim’

PYONGYANG, 10 Mei (AFP) – Korea Utara telah mengadakan perarakan besar di Pyongyang hari ini, dengan mengubah dataran besar negara menjadi lautan warna merah jambu, untuk meraikan kongres parti memerintah yang dilihat sebagai pemahkotaan rasmi bagi pemimpin tertinggi Kim Jong-Un.

Kim mengetuai acara itu dari anjung yang dapat melihat dataran mahal, Dataran Kim II-Sung, dengan berpuluh-puluh ribu orang melambai-lambaikan jambak bunga tiruan di atas kepala mereka ketika pemimpin muda itu tiba.

Korea Utara, sebuah negara bersenjatakan nuklear ini kerap mengadakan perarakan tentera beramai-ramai untuk meraikan tarikh-tarikh penting dan menunjukkan perkakasan tentera terbarunya, termasuklah peluru balistik jarak jauh yang masih sedang dimajukan.

Acara hari ini adalah perarakan semua awam selain dari kumpulan tentera. Tetapi beberapa kereta berhias besar mempunyai tema ketenteraan, dengan memperlihatkan model kadbod peluru berpandu dan kenderaan pelancar angkasa lepas. “Sebuah negara kuat perlukan senjata nuklear dan tentera yang mantap,” menurut perkataan yang pada tanda kereta berhias bertemakan peluru berpandu.

Warga Korea Utara berarak dengan simbol Parti Pekerja dan perkataan di bawahnya yang berbunyi “Hidup Kongres Parti Pekerja Korea Ke-7” semasa perarakan di Kim Il Sung Square kelmarin, di Pyongyang, Korea Utara. – AP
Warga Korea Utara berarak dengan simbol Parti Pekerja dan perkataan di bawahnya yang berbunyi “Hidup Kongres Parti Pekerja Korea Ke-7” semasa perarakan di Kim Il Sung Square kelmarin, di Pyongyang, Korea Utara. – AP

Korea Utara menyusuli ujian nuklear pada Januari lalu dengan pelancaran satelit yang secara meluas diselar sebagai penyamaran ujian peluru berpandu balistik. Ketua negara yang hanya pada namanya sahaja, Kim Yong-Naim berucap pada perarakan itu sebelum ia bermula, dengan memuji Kim Jong-Un dan mengucapkan tahniah kepada beliau di atas perlantikannya pada hari sebelumnya sebagai pengerusi parti memerintah, Parti Pekerja.

“Perlantikan itu menunjukkan kepercayaan mutlak ketenteraan kita dan rakyat kepada pemimpin hebat Kim Jong-Un,” kata Kim lagi. Pemimpin Kim melambai sekejap kepada orang ramai yang bertepuk sorak tetapi tidak berucap. Ratusan belon dilepaskan ke udara untuk merangsang lagi kesan keraian.

Kongres parti selama empat hari yang berakhir semalam menandakan perhimpunan pertama seumpamanya badan tertinggi pembuat keputusan parti itu dalam tempoh lebih 35 tahun.

Majlis itu telah memberikan Kim, 33 tahun, yang mengambil alih kuasa kepimpinan ekoran kematian ayahnya, Kim Jong-Il pada tahun 2011, asas untuk melindungi statusnya sebagai pemimpin tertinggi dan pewaris sah ke atas kerajaan satu parti yang diasaskan oleh datuknya, Kim II-Sung.