Pyongyang tidak minat ikut jejak Iran

Pyongyang tidak minat ikut jejak Iran

SEOUL, 21 Julai – Korea Utara hari ini berkata ia tidak berminat mengikut jejak Iran ke laluan dialog nuklear, dengan menegaskan ia telah pun sebuah negara senjata nuklear dan justeru itu di luar sebarang perbandingan logik dengan Tehran.

Seminggu selepas perjanjian bersejarah yang membuka laluan kepada penarikan balik sekatan yang melumpuhkan ekonomi Iran dalam pertukaran bagi pembatasan program nuklearnya, Pyongyang menolak sebarang saranan ia mungkin mengikut jejak sama.

Korea Utara “tidak berminat sama sekali dengan dialog untuk membincangkan isu membuatkannya membekukan atau menamatkan nuklearnya secara sehala,” menurut jurucakap Kementerian Luar.

“Adalah tidak logik membandingkan perjanjian nuklear Iran dengan situasi Korea Utara yang terdedah kepada tindakan terus menerus perseteruan ketenteraan provokatif dan ancaman nuklear terbesar AS,” jurucakap kementerian itu memberitahu agensi berita rasmi KCNA, Korea Utara.

Tehran dan Pyongyang, sekutu sejak revolusi Islam 1979 Iran, telah menjadi sasaran sekatan keras ekonomi ekoran program nuklear mereka yang berkontroversi.

Perjanjian dicapai dengan Iran diperlihatkan oleh sebilangan pihak sebagai rangka tindakan kemungkinan rundingan akhirnya dengan Korea Utara, dengan Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Wendy Sherman berkata dia berharap itu akan membuatkan Pyong-yang ‘berfikir dua kali’ tentang laluan nuklear yang diusahakannya.

Tetapi jurucakap kementerian luar Korea Utara berkata kedua-dua situasi “agak berbeza”.

Korea Utara adalah “negara senjata nuklear dengan nama dan realiti dan ia mempunyai kepentingan negara senjata nuklear,” katanya. Korea Utara telah melancarkan ujian nuklear yang berjaya pada tahun 2006, 2009, dan 2013.

Rundingan enam negara untuk membendung cita-cita nuklearnya – melibatkan Korea Utara, Korea Selatan, AS, China, Rusia dan Jepun – diawang-awangan sejak Pyongyang keluar dari rundingan itu dalam tahun 2009.

Tekanan meningkat bagi masyarakat antarabangsa untuk cuba membuat pendekatan baru dengan Korea Utara, yang meneruskan dengan program peluru berpandu dan nuklearnya di sebalik sekatan berlapis-lapis PBB dan penyisihan diplomatik.

AS dan Korea Selatan menegaskan Korea Utara mesti memperlihatkan komitmen ketara kepada penamatan nuklear sebelum rundingan bermakna boleh disambung semula. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA