QAF A tebus kembali maruah

QAF A tebus kembali maruah

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Pasukan QAF A menebus kekalahan tahun lalu apabila berjaya membenam harapan Pasukan Bank Baiduri B di dalam Kejohanan Futsal Sukan Ria Antara Syarikat 2016 yang berlangsung di Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya (JKR), Berakas, hari ini.

Pada awal babak perlawanan akhir tersebut, Pasukan QAF A disentak dengan jaringan awal Muhammad Naimullah Haji Adanan, namun corak perlawanan semakin rancak menyaksikan Pasukan QAF A mengasak ke kubu pertahanan Pasukan Bank Baiduri B.

Walau bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Hardi bujang menjadikan kedudukan terikat sama 1-1 selang beberapa minit kemudiannya dan menjadikan tekanan lebih terasa pada Pasukan Bank Baiduri B yang dipaksa bermain dalam corak perlawanan yang sedikit keras.

Pada babak kedua pula menyaksikan penguasaan QAF A di dalam perlawanan semakin menjadi apabila salah seorang pemain QAF A dijatuhkan di dalam petak D dan dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Muhd Hardyman Abdul Lamit.

Sebelum berakhir babak kedua, sekali lagi gawang Bank Baiduri B dibolosi dan sekali lagi Hardyman menjadi wira Pasukan QAF A dan kedudukan tersebut kekal sehingga wisel penamat.

Kedua-dua finalis Kejohanan Futsal Sukan Ria Antara Syarikat 2016.
Kedua-dua finalis Kejohanan Futsal Sukan Ria Antara Syarikat 2016.

Ketika ditemu bual media sejurus selepas perlawanan tersebut, Pengurus Pasukan QAF A, Clement Chong menyatakan perasaan gembira melihat persembahan yang ditunjukkan oleh pemain-pemain QAF A dan mengucapkan tahniah kepada semua pemain atas kejayaan membawa semula gelaran kejuaraan dalam sukan ria kali ini.

“Tahun lalu kami tewas tipis kepada Pasukan Jabatan Belia dan Sukan dan sejak hari pertama kejohanan kali ini kami sudah menyimpan impian dan hasrat untuk mencuri semula kejuaraan itu dan akhirnya hari ini kami berjaya,” ujarnya.

Mengulas mengenai corak permainan, menurutnya QAF A pada perlawanan akhir mempamerkan permainan psikologi yang jelas tidak dapat ditangani pemain Bank Baiduri B dan menurutnya itu adalah salah satu faktor kejayaan Pasukan QAF A.

“Kami sering mempamerkan permainan yang bersahaja dan berpasukan dan melihat kepada Pasukan Baiduri yang sememangnya bertenaga dan cukup kuat kami perlu mencari taktik terbaik untuk menjulang kejuaraan,” ujar penyokong tegas pasukan Jerman barat itu.

Dalam perlawanan penentuan tersebut, berada di tempat ketiga hari ini disandang oleh Pasukan BSP yang dipaksa Pasukan Sprintel untuk menentukan kemenangan melalui sepakan penalti dan perlawanan tamat dengan Jaringan 3-5.