QAF, Brunei Press raih pingat Futsal Sukan Ria

QAF, Brunei Press raih pingat Futsal Sukan Ria

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mei – Brunei Press Sdn Bhd meraih pingat gangsa dalam acara futsal Sukan Ria Antara Syarikat 2015, manakala QAF Sdn Bhd meraih pingat perak selepas tewas 2-3 melalui sepakan penalti kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) pada final malam tadi.

Melangkah ke separuh akhir merupakan pencapaian terbaik Brunei Press sejak menyertai sukan ini selepas hanya mara ke pusingan kedua tahun lepas.

Kembara Brunei Press ke final dihalang oleh QAF pada separuh akhir pertama malam tadi selepas QAF menang 2-0 dan layak ke final buat tahun ketiga berturut-turut.

Separuh akhir kedua menyaksikan KKBS terikat tanpa jaringan dengan DST ‘A’, hanya untuk KKBS bernasib baik mara ke final dengan kemenangan 3-2 sepakan penalti.

Sebelum juara ditentukan, persaingan pingat gangsa antara Brunei Press dengan DST ‘A’ berlangsung hebat, cuma kedua-dua pasukan gagal meraih jaringan sehingga masa tamat sekali gus membawa perlawanan ke penetuan penalti penentuan.

Skuad futsal QAF (jingga) dan Brunei Press masing-masing meraih pingat perak dan gangsa dalam acara Futsal Sukan Ria Antara Syarikat 2015.
Skuad futsal QAF (jingga) dan Brunei Press masing-masing meraih pingat perak dan gangsa dalam acara Futsal Sukan Ria Antara Syarikat 2015.

Kedua-dua menyempurnakan sepakan 100 peratus sehingga sepakan kelima masing-masing. Sepakan keenam DST ‘A’ menggegar tiang luar atas kiri dan sepakan Brunei Press menggegar tiang sebelum masuk sebagai gol kemenangan.

Penentuan pingat emas selepas itu juga berlangsung sengit tetapi turut berakhir tanpa sebarang jaringan dan sekali lagi sepakan penalti digunakan untuk mencari pemenang.

Sepakan pertama QAF berjaya didakap kemas penjaga gol KKBS, manakala lima sepakan (tiga pemain KKBS dan dua pemain QAF) memberikan KKBS kemenangan 3-2.

Kemenangan KKBS itu sekali gus menghalang QAF merangkul kejuaraan ketiga berturut-turutnya, namun QAF berada pada kedudukan tertinggi dalam kejohanan tahunan antara syarikat.

Selaku juara KKBS akan menerima hadiah wang tunai $1,000, manakala QAF bakal mendapat hadiah wang tunai $700 dan Brunei Press pula bakal membawa pulang hadiah wang tunai $500. Majlis penyampaian hadiah dijadualkan berlangsung pada 24 Mei ini. – Hasrulraizan