QAF Eurokars lancar model Porsche terbaru

QAF Eurokars lancar model Porsche terbaru

Oleh Pg Fairol RMF

Gambar oleh Dean Kassim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – QAF Eurokars Sdn Bhd selaku pengedar rasmi kereta jenama Porsche di Brunei Darussalam melancarkan model Macan GTS dan Cayenne GTS di Pusat Porsche Brunei, semalam.

Dengan kerjasama Baiduri Prestige, lebih 2000 jemputan hadir menyaksikan pelancaran yang disempurnakan oleh oleh Pengurus Besar QAF Motor Group, Roger Fletcher dan Pengurus Jualan Rantau Asia Pasifik Pte Ltd, Alexander Schuchert.

QAF Eurokars juga turut memberikan tiga hadiah bertuah kepada tiga pelanggan untuk menyertai Sekolah Pemanduan Sukan Porsche (PSDS) di Sepang Malaysia. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif QAF, Albert Lau.

Keluaran terbaru Model Gran Turismo Sport (GTS) tersebut menjanjikan pemanduan dinamik kepada mereka yang menggemari sukan permotoran. Macan GTS dan Cayenne GTS benar-benar membuktikan keazaman jurutera Porsche untuk menghasilkan sportscar dengan prestasi yang lebih mantap.

“Bila bercakap mengenai konsep GTS, apa yang penting ialah prestasi Macan dan Cayenne dihasilkan bagi menawarkan lebih kuasa dengan suspensi lebih rendah untuk memberi cengkaman yang lebih hebat. Gabungan prestasi tinggi dan reka bentuk lebih menarik Macan GTS dan Cayenne GTS ini pasti membuka dunia baru dalam pemanduan anda,” kata Timbalan Pengurus Besar QAF Eurokars, Clement Chong.

Albert Lau bergambar ramai bersama para pemenang yang berpeluang mengikuti Sekolah Pemanduan Sukan Porsche (PSDS) di Sepang, Malaysia.
Albert Lau bergambar ramai bersama para pemenang yang berpeluang mengikuti Sekolah Pemanduan Sukan Porsche (PSDS) di Sepang, Malaysia.
Orang ramai menyaksikan model Porsche Macan GTS yang dilancarkan malam kelmarin.
Orang ramai menyaksikan model Porsche Macan GTS yang dilancarkan malam kelmarin.

Porsche Macan selama ini dikeluarkan dengan versi standard dan sekarang Porsche memperkenalkan versi GTS hasil inspirasi daripada perlumbaan permotoran.

Kereta berupa Compact SUV ini mempunyai rangka yang diubah suai, tambahan lebih 20 kuasa kuda dari Macan S serta lebih kuasa dan tork. Macan GTS mempunyai 360 kuasa kuda dengan 500 Nm hasil daripada enjin V6 bi-turbo 3-liter digabungkan dengan Porsche Doppelkupplung (PDK) dan Pengurusan Traction Porsche (PTM).

Rupa bentuk Macan tidak begitu berbeza dengan model Cayenne jika dilihat sepintas lalu, di mana Porsche masih mengekalkan falsafah kereta berkualiti, elegan dan mewah. Walau bagaimanapun, Macan dilihat lebih rendah, sportif dan dimuatkan dengan teknologi moden.

Papan pemuka Macan GTS tidak begitu berbeza dengan model Porsche lainnya kerana ia berkonsepkan seperti di dalam sebuah kokpit pesawat dengan pelbagai punat yang mesra pengguna.

Macan yang dipasarkan di negara ini dilengkapi teknologi seperti penghubung Bluetooth, stereng sport pelbagai fungsi dengan penukaran gear, sistem Audio CDR Plus dan pengawalan cuaca tiga zon secara automatik.

Manakala, Porsche Cayenne GTS pula mempunyai prestasi yang dipertingkatkan berbanding model sebelumnya yang dilengkapi dengan enjin V8, kuasa dipertingkatkan 20 kuasa kuda kepada pencapaian 440 kuasa kuda secara keseluruhan dengan kekuatan tork daripada 85 Nm kepada 600 Nm, penggunaan bahan api dikurangkan kepada 0.9 l/100 km. Walaupun berbadan besar tetapi Cayenne GTS mempunyai kepantasan kelajuan dari 0 kepada 100 km/h dalam masa 5.2 saat sahaja.

Cayenne turut ditambah dengan lampu utama baru termasuk lampu siang hari, empat lampu sorot LED sebagai standard dan lampu utama Porsche Dynamic Light System (PDLS) bagi kegunaan waktu malam yang mampu mengukur kawalan lampu di samping menyalurkan cahaya mengikut belokkan pemandu dan juga lampu belakang LED baru serta air intake diubah suai dengan lebih besar.

Apa yang menarik lagi mengenai Cayenne ialah perjalanan jauh amat tenang walaupun permukaan jalan tidak rata disebabkan teknologi suspensi udara dengan pengurusan kestabilan kereta yang dinamakan sebagai Porsche Active Suspension Management (PASM).

PASM juga sebagai sistem pengawalan redaman (damping) electronik dan secara berterusan menjaga dan megawal perubahan redaman pada setiap roda mengikut keadaan jalan dan pilihan mode pemanduan seperti Comfort atau Sport.

Versi standard Cayenne Turbo dilengkapi caliper brek berwarna merah, dengan saiz 390-milimeter brek piring di bahagian depan dan 358 milimeter di bahagian belakang.

Sempena pelancaran tersebut, Baiduri Finance memberi pakej kewangan istimewa kepada pelanggan yang berminat dari 15 hingga 31 Oktober ini.

ARTIKEL YANG SAMA