Qari dan qariah berlepas ke KL

Qari dan qariah berlepas ke KL

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Peserta qari dan qariah kita bersama rombongan seramai lima orang telah berlepas ke Kuala Lumpur, Malaysia, hari ini untuk menyertai pertandingan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-57 yang berlangsung pada 9 Jun hingga 14 Jun, di negara berkenaan.

Rombongan terdiri daripada Ketua dan Pengurus Rombongan, Awang Abdul Rahim bin Haji Durahman bersama pengurus peserta perempuan, Hajah Siti Mahyana binti PSKDPSS Dr Ustaz Haji Yahya; hakim jemputan, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh; jurulatih, Dato Paduka Haji Yusop bin Bakar; jurulatih dan tenaga pengajar Institut Tahfiz-Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Haji Termizi bin Haji Mahmod; peserta qari, Awangku Mohd Adibul Amin bin Pengiran Haji Marjuki serta peserta qariah, Hajah Noor Dzuhairah binti Haji Damit.

Awangku Mohd Adibul Amin ketika ditemui, menyatakan beliau telah diberikan bimbingan serta latihan intensif sebagai persediaan bagi menghadapi pertandingan itu.

“Melalui latihan intensif yang dijalankan, saya yakin dapat mendalami dan memperhalus lagi pembacaan Al-Quran,” ujarnya.

Rombongan negara yang berlepas ke Kuala Lumpur, Malaysia bagi menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-57.
Rombongan negara yang berlepas ke Kuala Lumpur, Malaysia bagi menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-57.

Sementara itu, Hajah Noor Dzuhairah juga menyatakan latihan intensif yang dilakukan akan dapat memberikan pendedahan dan keyakinan dalam menghadapi pertandingan yang bakal dilalui di Kuala Lumpur nanti.

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan dan dorongan kepadanya untuk menyertai pertandingan itu termasuk kaum keluarga dan guru-gurunya.

ARTIKEL YANG SAMA