Qari Iran, Qariah Indonesia muncul Johan

Qari Iran, Qariah Indonesia muncul Johan

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) – Qari dari Iran, Mohsen Hassani Kargar dan Qariah dari Indonesia, Asrina Asril Buyong dinobat johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-57 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, malam kelmarin.

Mereka masing-masing menerima hadiah jongkong emas bernilai RM70,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), piala iringan serta wang tunai RM40,000.

Mohsen yang kali pertama menyertai pertandingan itu memperoleh markah 91.8 peratus, manakala Asrina mendapat 91.6 peratus.

Naib johan qari dimenangi Wan Ainuddin Hilmi Abdullah dari Malaysia dengan markah 91.4 peratus dan tempat ketiga, Numan Makasugat Pimbayaba dari Filipina dengan markah 91 peratus.

Qariah dari Filipina Rahima Panondionga Amerol mendapat tempat kedua dengan markah 88.4 peratus, manakala qariah Malaysia, Siti Husnaa Hassan mengumpul 87 peratus.

Sultan Kelantan menyampaikan hadiah kepada johan qariah dari Indonesia Asrina Asril Buyong. - Bernama
Sultan Kelantan menyampaikan hadiah kepada johan qariah dari Indonesia Asrina Asril Buyong. – Bernama
Qari dari Brunei yang turut memperdengarkan bacaannya di Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-57. - Bernama
Qari dari Brunei yang turut memperdengarkan bacaannya di Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-57. – Bernama

Hadiah-hadiah disampaikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu bagi kategori hafazan yang diperkenalkan mulai tahun lepas, peserta Qatar, Abdul Aziz Abdullah Ali Al-Hamri dinobatkan sebagai johan hafiz dengan markah 97.6 peratus manakala peserta negara, Farihah Zulkifli menjuarai kategori hafizah dengan markah 89.5 peratus.

Mereka masing-masing menerima jongkong emas bernilai RM20,000 sumbangan YaPEIM, wang tunai RM20,000, cenderamata dan piala iringan.

Naib johan hafiz diraih Othman Yasef Jazaa Fahad Al-Shalan dari Kuwait (96 peratus), manakala tempat ketiga Aboulhassen Yahia dari Tunisia (92.8 peratus).

Tempat kedua kategori hafizah disandang Raghiye Beyah dari Tunisia dengan markah 89.4 peratus, manakala peserta Tunisia, Mariem Makhlouf meraih tempat ketiga (88.3 peratus).

Mohsen, 26, yang ditemui selepas penyampaian hadiah berkata, Malaysia adalah satu-satunya negara yang terbaik menganjurkan tilawah itu.

Bagi Asrina, 35, pegawai di pejabat Kementerian Agama di Indonesia, menyifatkan kemenangan itu sebagai anugerah tidak terkira dari Allah atas minatnya yang mendalam terhadap Al-Quran.

Sementara itu Farihah, 20, yang juga pelajar semester lima Diploma Pengajian Al-Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, menyifatkan kemenangannya itu sebagai rezeki untuknya meskipun menerima saingan sengit dari ramai peserta.

Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 9 Jun lepas berkenan merasmikan majlis itu bertemakan ‘Perpaduan Nadi Transformasi’ yang disertai 70 peserta dari 56 negara iaitu 38 bagi kategori tilawah dan 32 bagi hafazan.

Kesemua peserta dinilai 15 hakim profesional antaranya dari Mesir, Arab Saudi, Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand.