Qari negara selamat pulang

Qari negara selamat pulang

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Dua qari negara yang telah menyertai Pertandingan Membaca Al-Quran Antarabangsa ke-32 di Tehran, Iran baru-baru ini, telah selamat pulang ke tanah air, hari ini.

Kepulangan kedua-dua qari berkenaan berserta dua pengiring mereka, di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, telah disambut oleh Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Haji Idris bin Haji Aji.

Dalam pertandingan yang berlangsung pada 15 hingga 24 Mei itu, Awang Mohd Fikri bin Haji Metussin menyertai kategori membaca Al-Quran dan Awang Mohamad Aizat bin Haji Ahmad dalam kategori hafalan 30 Juzuk.

Pemergian mereka diiringi oleh Awang Sabaraya bin Abdul Ghani selaku ketua rombongan dan Haji Mohd Zainul Arifin Ridwan Lubis selaku pembimbing.

Ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Haji Mohd Zainul Arifin berkata pujian harus diberikan kepada peserta negara kerana menunjukkan prestasi terbaik dalam kejohanan yang diadakan buat kali ke-32 di Tehran itu.

“Kita perlu menerima corak penghakiman yang berbeza di rantau sana berbanding di sini kerana di sana Lahjah (sebutan) Arab itu menjadi keutamaan di samping kekuatan suara yang menjadi ukuran sidang hakim dari Jordan, Iran dan beberapa buah negara lagi,” ujarnya.

Menurutnya penyertaan kali ini memberikan mereka pengalaman untuk mempersiapkan peserta negara mengikut kriteria penghakiman yang tepat dan selaras dengan cara musabaqah dan hafalan di pertandingan itu.

“Pada saya penyertaan kali ini merupakan motivasi dan pemangkin untuk kita mempelajari kelemahan dan dijadikan sempadan dan teladan kepada peserta negara di masa akan datang bagi meraih kejayaan yang dihasratkan,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA