Qari, qariah hargai bimbingan mantap

Qari, qariah hargai bimbingan mantap

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 April – Bimbingan daripada Ketua Imam di Kementerian Awqaf, Mesir, Syeikh Dr Ustaz Abdel Fattah Ali Abdel Fattah Darwisy Al-Tharaty ternyata membuahkan hasil apabila melaluinya, qari negara yang baru dinobatkan johan semalam, mengutip pengalaman berharga.

Johan qari, Awangku Muhammad Adibul Amin bin Pengiran Haji Marjuki dalam temu bual bersama Media Permata, menjelaskan melalui kursus kendalian Syeikh Dr Ustaz Abdel Fattah yang diungkayahkan kerajaan bagi peserta qari dan qariah Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Akhir Dewasa Kebangsaan 2016, beliau mendapat pengiktirafan berharga.

Ini kerana ajaran Syeikh Dr Ustaz Abdel Fattah melekat di fikiran mereka dan cukup bermakna. Beliau juga menyeru para belia yang berminat untuk belajar bidang pembacaan Al-Quran supaya berguru dengan mereka yang mahir dalam kalam Allah itu.

Manakala johan qariah, Dayang Siti Huzaimah Yadey binti Haji Rosli melahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama atas inisiatif mereka menyediakan kursus bimbingan ustaz terkenal itu. Beliau turut menghargai sokongan keluarganya atas kejayaan itu dan tidak menyangka bergelar johan malam semalam.

Awangku Muhammad Adibul Amin, johan Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Dewasa Kebangsaan ketika ditemu bual.
Awangku Muhammad Adibul Amin, johan Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Dewasa Kebangsaan ketika ditemu bual.
Dayang Siti Huzaimah Yadey melahirkan penghargaan kepada sokongan kerajaan dan keluarga.
Dayang Siti Huzaimah Yadey melahirkan penghargaan kepada sokongan kerajaan dan keluarga.

Menurutnya lagi, persiapan untuk mewakili negara ke Kuala Lumpur akan dibuat segera dengan mendalami lagi pembacaan Al-Quran bersama beberapa orang guru Al-Quran.

Kedua-dua mereka membawa pulang hadiah berupa piala pusingan, wang tunai $7,000, piala iringan serta sijil.

ARTIKEL YANG SAMA