Qari TLDB, qariah TDDB juara Musabaqah Tilawah Al-Quran ABDB

Qari TLDB, qariah TDDB juara Musabaqah Tilawah Al-Quran ABDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Julai – 13007 Bintara Kanan Aliuddin bin Haji Sarbini dari Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan 20854 Koperal Hajah Rubiah binti Haji Dagang dari Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), masing-masing muncul juara qari dan qariah dalam Pertandingan Akhir Musabaqah Tilawah Al-Quran Bagi Peringkat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) Sempena Hari Ulang Tahun ABDB ke-54.

Dalam pertandingan akhir yang berlangsung di Dewan Pahlawan, Perkhemahan Berakas, pagi tadi, naib johan bagi kategori qari disandang oleh 18831 Lkpl (U) Musa bin Haji Sahat dari Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) diikuti oleh 16979 Kpl Pengiran Haji Kamarul Sarip bin Pengiran Haji Serpudin dari Akademi Pertahanan ABDB di tempat ketiga.

Manakala itu, bagi kategori qariah, naib johan disandang oleh 1070 Lt Noria Fatriah binti Haji Abdul Mutalif dari Kementerian Pertahanan dan 21750 Pegawai Kadet Auni ‘Afifah @ Yumni binti Haji Ali Hassan dari Akademi Pertahanan ABDB menduduki tempat ketiga.

Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Pemangku Pemerintah ABDB, Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit, selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera dan Angkatan Bersama, para pegawai kanan dan jemputan khas serta seluruh warga Angkatan Tentera ABDB.

Pertandingan tahun ini yang dikendalikan oleh TDDB, telah disertai oleh 23 orang peserta, dengan 15 peserta qari dan lapan qariah.