Qatar Airways berkembang di sebalik sekatan

CANBERRA, 13 Feb – Ketua eksekutif Qatar Airways berkata hari ini syarikat penerbangan itu akan mencatatkan kerugian tahun ini disebabkan sekatan yang dikenakan oleh empat buah negara Arab dengan memutuskan laluan darat, udara dan laut dengan Qatar.

CEOnya, Akbar al-Baker berkata pemulauan ke atas syarikat penerbangan Qatar yang terbang ke negara jiran Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir sejak musim panas

lalu telah memaksanya menggunakan laluan yang lebih jauh menerusi Turki dan Iran, telah menjejaskan kewangan syarikat, tetapi bukan pelan pengembangannya.

“Kami telah meningkatkan kos penyelenggaraan kerana kami menggunakan laluan yang lebih jauh, yang menyebabkan pertambahan dalam penggunaan minyak, maka kos penerbangan turut meningkat dan saya telah menyatakan bahawa syarikat penerbangan akan terus mencatatkan kerugian tahun ini disebabkan sekatan, namun begitu, ia tidak bermakna kami akan menyusut malah kami akan terus berkembang dan membesarkan syarikat,” kata al-Baker ketika ditemu bual oleh Associated Press.

Gambar fail pada 15 Januari 2015 menunjukkan pesawat Airbus A350 milik Qatar Airways ketika di sebuah lapangan terbang di Frankfurt, Jerman. Syarikat itu mencatatkan kerugian akibat sekatan yang dilakukan oleh negara-negara yang berjiran dengannya. – AP

Ketika berucap di ibu negara Australia Canberra di mana Qatar Airways telah menjadi syarikat penerbangan antarabangsa yang pertama menawarkan penerbangan harian, al-Baker berkata syarikat penerbangan milik kerajaan itu akan mengetahui jumlah kerugian yang dialaminya April ini.

Beliau belum dapat memberikan jadual perjalanan bagi laluan baru untuk menggantikan kerugian yang terpaksa ditanggung dalam pasaran.

“Segalanya bergantung kepada keupayaan kami untuk mematangkan destinasi baharu yang dikendalikan berbanding destinasi yang diambil ketika sekatan,” kata al-Baker. – AP