Qatar Airways ikat perjanjian dengan SUN-AIR

Qatar Airways ikat perjanjian dengan SUN-AIR

DOHA, 13 Okt – Qatar Airways telah menandatangani satu perjanjian perkongsian kod dengan syarikat penerbangan Denmark SUN-AIR, francais British Airways, Pertubuhan Berita Qatar (QNA) melaporkan.

Mulai 8 Okt, SUN-AIR dan Qatar Airways akan memperkenalkan penerbangan perkongsian kod antara Billund, Aalborg dan Aarhus di Jutland, bahagian Barat Denmark, dan beberapa destinasi Eropah termasuk Oslo, Brussels, Manchester dan Munich.

Kerjasama baru ini memperluaskan lagi pilihan bagi perjalanan penumpang Qatar Airways ke dan dari Denmark, membuka kepelbagaian jenis pilihan perjalanan di samping Copenhagen.

Perjanjian perkongsian kod akan membawa para penumpang kepada sebahagian besar destinasi perniagaan di seluruh dunia dengan perjalanan penerbangan baru yang lebih baik termasuk Bali, Singapura, Mumbai, Goa, Kuala Lumpur, Bangkok, Hanoi, Shanghai, Hyderabad dan Dhaka. Ketua Eksekutif Kumpulan Qatar Airways Akbar Al Baker berkata: ‘Syarikat SUN-AIR melihat peluang yang sangat baik dengan perjanjian perkongsian kod baru ini, mengekal dan meningkatkan tawaran kompetitif kami kepada pelanggan.’

‘Qatar Airways sedang berkembang pesat di seluruh dunia dan perjanjian dengan SUN-AIR mengukuhkan lagi kedudukan kami, dalam masa yang sama menyediakan penumpang kami dengan rangkaian global yang tiada tandingan.’

Pengarah Komersial SUN-AIR Kristian Tvergaard berkata, perkongsian kod ini menawarkan sambungan penerbangan yang unik untuk para pelanggan antara tiga pangkalan syarikat di Jutland iaitu Billund, Aarhus dan Aalborg serta hab Qatar Airways di Doha.

Qatar Airways telah menyaksikan pertumbuhan yang pesat dalam hanya 18 tahun beroperasi dan hari ini terbang dengan armada moden sebanyak 166 pesawat kepada 152 perniagaan dan destinasi percutian utama di seluruh Eropah, Timur Tengah, Afrika, Asia Pasifik, Amerika Utara dan Amerika Selatan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA