Qatar Airways...

Qatar Airways perkenalkan kelas perniagaan baru

DOHA, 13 Feb – Qatar Airways bakal memperkenalkan produk baharu rangkaian perkhidmatan Kelas Perniagaan bagi tahun ini di pameran ITB Berlin yang berlangsung mulai 8 hingga 12 Mac, lapor agensi berita Qatar (QNA).

Menurut kenyataan syarikat penerbangan itu pada Ahad, Qatar Airways akan melancarkan tempat duduk kelas perniagaan baharu dalam satu majlis pada perasmian pembukaan pameran antarabangsa itu.

Satu sidang media turut diadakan kemudian, dijangka menarik minat lebih 200 pengamal media antarabangsa.

Tetamu dan pengunjung ITB Berlin akan dipelawa untuk menikmati tempat duduk Kelas Perniagaan baharu itu yang terletak di ruang pameran nombor 208 di Hall 2.2.

Pengunjung berpeluang merasai keselesaan, hiburan dan layanan istimewa yang ditawarkan dalam penerbangan Qatar Airways.

Ruang kelas perniagaan pesawat Qatar Airways ketika ini. – AFP
Ruang kelas perniagaan pesawat Qatar Airways ketika ini. – AFP

Ketua Eksekutif Kumpulan Qatar Airways Akbar Al Baker berkata “saya sangat teruja untuk mengumumkan bahawa tahun ini pameran ITB menjadi lokasi memperkenalkan produk baharu Kelas Peniagaan kami.

“Pada ITB tahun ini kami ingin berkongsi revolusi baharu Kelas Perniagaan serta lain-lain perkembangan terkini mengenai rangkaian perkhidmatan kepada pihak industri pelancongan dan media dari seluruh dunia,” katanya. Acara tahunan ITB Berlin disertai pelbagai jenis pempamer agensi pelancongan dari lima benua dan 187 buah negara.

Ia menyediakan pengunjung pelbagai maklumat, produk baharu, perkhidmatan serta kemudahan yang terdapat dalam industri pelancongan. – Bernama