Qatar Airways tingkat perkhidmatan

Qatar Airways tingkat perkhidmatan

MANILA, Filipina, 6 Julai (Agensi) – Qatar Airways akan menambah enam penerbangan tambahan seminggu di antara Doha dan Manila, bermula pada 26 Oktober tahun ini, umum syarikat penerbangan Negara Qatar semalam.

Pertambahan dalam kekerapan penerbangan menyusuli satu Perjanjian Perkhidmatan Udara lanjutan, ditandatangani oleh Qatar dengan Filipina, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Ketua Eksekutif Kumpulan Qatar Airways, Akbar Al Baker, berkata pertambahan dalam kekerapan penerbangan di laluan Doha-Manila adalah untuk memperkukuh hubungan komersial dan perdagangan di antara kedua-dua negara.

“Kami gembira untuk memberikan pilihan hubungan yang lebih kepada penumpang di Manila apabila mereka memilih untuk menggunakan penerbangan Qatar Airways.”

Al Baker juga berkata penumpang yang berkunjung dengan Qatar Airways di luar Doha, juga boleh terbang menggunakan beberapa pesawat udara paling canggih di dunia, termasuk A350 XWB.

Qatar Airways meningkatkan perkhidmatan enam penerbangan dalam seminggu dari Doha ke Manila.
Qatar Airways meningkatkan perkhidmatan enam penerbangan dalam seminggu dari Doha ke Manila.

Syarikat penerbangan yang berpangkalan di Doha, baru-baru ini dianugerahkan Syarikat Penerbangan Tahun Ini, pada Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax tahunan 2015, sedang mengadakan lapan penerbangan seminggu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila.

Dengan pertambahan dalam penerbangan mingguan, Qatar Airways akan mengendali perkhidmatan dua kali sehari ke Manila, di samping penerbangan harian di antara Clark dan Doha.

Syarikat penerbangan itu mengendali pesawat udara Boeing 777 di laluan Doha-Manila. Ia mempunyai 24 tempat duduk dalam Business Class dan 356 tempat duduk dalam Economy Class.

ARTIKEL YANG SAMA