Qatar berang Piala Dunia diperdebatkan

DOHA, 11 Okt – Qatar berang selepas pesaingnya di Teluk, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mempersoalkan sama ada ia dibenarkan menghoskan Piala Dunia bola sepak 2022 tanpa sebarang perubahan pada dasarnya.

Seorang menteri UAE berkata bahawa penganjuran Doha bagi kejohanan itu perlu memasukkan komitmen menentang ekstremis, komen yang mengancam untuk menyelubungi sukan itu dalam krisis diplomatik yang memecahbelahkan rantau itu pada bulan Jun.

UAE dan tiga negara Arab yang lain yang dipimpin oleh Arab Saudi telah memutuskan kesemua hubungan diplomatik dan laluan pengangkutan dengan Qatar dan menyekat penduduknya sehingga permintaan mereka mengenai perubahan drastik dalam dasar dipenuhi.

Mereka menuduh Qatar menyokong ‘kumpulan pengganas’ tetapi pertuduhan mereka sebahagian besar tertumpu pada Muslim Brotherhood, sebuah kumpulan yang disenarai hitam oleh mereka tetapi tidak oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)atau kerajaan Barat.

Menteri hal ehwal luar negeri UAE, Anwar Gargash berkata penganjuran Qatar bagi kejohanan bola sepak dunia itu berisiko mencemarkan sukan itu.

“Menganjurkan Piala Dunia 2022 seharusnya tidak dicemari dengan sokongan kepada individu dan pertubuhan pengganas, penilaian semula dasar Qatar adalah satu kemestian,” katanya.

Qatar membalas komen Gargash itu sebagai ‘cemburu’ dari pihak UAE, yang mana bandar utamanya Abu Dhabi dan Dubai sudah lama mengimpikan untuk menjadi venue bagi kejohanan utama antarabangsa di Teluk.

“Permintaan UAE bahawa Qatar perlu melepaskan Piala Dunia menunjukkan sekatan tidak sah mereka adalah hanya kerana cemburu, bukan bimbang,” menurut kenyataan kerajaan.

Qatar menjadi negara Arab pertama untuk terpilih menjadi hos Piala Dunia FIFA.

Negara kaya itu telah melancarkan projek pembinaan besar-besaran dalam persiapan bagi menghoskan kejohanan itu.

Mereka juga telah mengambil sejumlah besar buruh pendatang, yang menyaksikan jumlah penduduk mereka meningkat kepada 2.4 juta, tetapi turut menerima kritikan mengenai keadaan hidup dan tempat kerja, yang mana 90 peratus daripada mereka adalah warga asing. – AFP