Qawim juara Golf Amal Pusat Ehsan

Qawim juara Golf Amal Pusat Ehsan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 April – Laluan untuk menjuarai Perlawanan Golf Amal Pusat Ehsan ke-14 tahun 2016 bagi Awang Qawim bin Haji Aslimon bukan suatu yang mudah apabila beliau terpaksa bermain dalam set penentuan oleh pencabar terdekatnya Awang Johari Haji Ahmad yang berkongsi 70 pukulan Gross di Kelab Golf Diraja Brunei, Berakas, hari ini.

Namun begitu Qawim mempunyai kelebihan untuk menyerap tekanan dalam set penentuan berkenaan dan dengan tenang mengalahkan Awang Johari yang terpaksa akur di tempat kedua diikuti di tempat ketiga yang disandang oleh Awang Seruji Haji Setia dengan 74 pukulan Gross.

Hadir bagi menyaksikan dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Sementara itu, Haji Patera Madil dengan 66 pukulan Nett pula menjuarai pukulan keseluruhan Nett apabila mengalahkan pencabar terdekatnya Awang Zulehram Yakub sementara tempat ketiga disandang oleh Awang Shahminan Haji Damit.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyerahkan piala kejohanan kepada Awang Qawim.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyerahkan piala kejohanan kepada Awang Qawim.

Divisyen A dalam kejohanan edisi ke-14 kali ini menyaksikan persaingan sengit tiga orang pemain antaranya Leftenan Kolonel Zahrin Zunaidi yang dinobatkan juara dicabar oleh Pengiran Wahab bin Pengiran Haji Ibrahim di tempat kedua dan Awang Ali Rashid di tempat ketiga.

Haji Jalaluddin Haji Ghazali pula tampil gah dalam Divisyen B apabila berjaya menewaskan Pengiran Anak Basheer di tempat kedua diikuti oleh Awang Mohd Fauzi Haji Timbang yang terpaksa menerima kedudukan ketiga dalam kejohanan itu.

Bagi Divisyen C, Awang Aedy Azmani selesa di tempat pertama apabila beliau mudah meninggalkan Awang Alias Ramlee di tempat kedua diikuti oleh Kok Chin di tempat ketiga dan keadaan yang sama bagi juara Senior iaitu Haji Hafneh yang selesa di takhta Kategori Senior dengan menewaskan Pengiran Zamani bin Pengiran Haji Ahmed dan Haji Yussof masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Dalam Bahagian Wanita pula, Dayang Almas Syadwanie Kamis tampil juara keseluruhan Gross dengan 77 pukulan sementara itu Dayangku Siti Nurmashizriah pula menjuarai pukulan Nett wanita meninggalkan Dayang Nur Intan Shafizah di tempat kedua dan Patricia Bouvet di tempat ketiga.

Dalam Bahagian VIP dan Penaja pula, Leftenan Kolonel (B) Haji Ahmad Said tampil juara meninggalkan Ken Kho dan Leftenan Kolonel (B) Haji Abdul Mulok di tempat kedua dan ketiga bahagian berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA