Quintana cuba padamkan bayangan ‘Lucho’ Herrera

Quintana cuba padamkan bayangan ‘Lucho’ Herrera

SAINT-JEAN-DE-MAURIENNE, Perancis, 24 Julai – Nairo Quintana berhasrat mengukuhkan hubungan istimewa antara Colombia dan Alp d’Huez apabila menangani pendakian mistik Jelajah Perancis esok.

Pelumba berusia 25 tahun yang juga jaguh Giro d’Italia 2014 ini mungkin pelumba Colombia paling tersohor dan Alp d’Huez, gunung paling ikonik dalam sukan ini, tetapi Luis ‘Lucho’ Herrera yang menempa laluan bagi pelumba di negara Andean itu 31 tahun yang lalu.

Pada 17 Julai 1984, hari Isnin pada peringkat ke-17, 151 kilometer Jelajah dari Grenoble ke Alpe d’Huez, pendaki Colombia berusia 23 tahun itu telah mengumumkan bakatnya kepada dunia.

Hari itu Herrera bermula teruk yang pada awalnya jauh daripada peloton ketika pasangan pelumba basikal dari Perancis, Laurent Fignon dan Bernard Hinault, dua pelumba pilihan, berjuang meraih penguasaan. Tetapi Herrera berjaya bertahan dan di kaki Alpe d’Huez dia bersama Fignon.

Herrera menyerang dan mengatasi Hinault sebelum meneruskan perjuangan hingga memenangi peringkat di puncak Alpine itu, menyertai pelumba seperti legenda Fausto Coppi dan Joop Zoetemelk sebagai pemenang di Alpe d’Huez.

Froome (kiri) dan Quintana sebelum peringkat ke-19 Jelajah bermula pagi tadi. - AFP
Froome (kiri) dan Quintana sebelum peringkat ke-19 Jelajah bermula pagi tadi. – AFP

Herrera yang secara rasmi masih amatur, terus berjuang menyudahkan perlumbaan ke-27 keseluruhannya ketika Fignon memenangi jelajah keduanya – setahun kemudian Hinault membalas dendam tetapi sejak itu Perancis tidak lagi memenangi Jelajah itu.

Bintang Colombia itu menikmati banyak lagi hari-hari hebat dalam lumba basikal, memenangi Vuelta a Espana 1987 dan pada tahun sama mencapai penyudahan terbaiknya dalam Jelajah itu apabila selesai di tempat kelima.

Dia juga memenangi lima jersi raja gunung di tiga Grand Tour dan memenangi dua kejohanan berprestij Criterium du Dauphone. Tetapi inspirasinya bagi generasi pendaki Colombia mungkin membuatkan dirinya dicatat dalam buku rekod lumba basikal. – AFP