Quintana juarai Jelajah Catalonia

Quintana juarai Jelajah Catalonia

BARCELONA, 28 Mac (AFP) – Pelumba basikal pasukan Movistar dan Colombia, Nairo Quintana seperti dijangka menjuarai perlumbaan berprestij Tour of Catalonia yang berakhir, semalam.

Sejurus merampas kedudukan pendahulu dengan memenangi perlumbaan peringkat keempat, kedudukan Quintana tampak tidak mampu lagi dicabar sekali pun peringkat terakhir dimenangi pelumba Russia, Alexey Tsatevich.

Pada perlumbaan yang berlangsung di kawasan sekitar Montjuic dan Barcelona sejauh 136 kilometer itu, Quintana cemerlang mengatasi asakan pelumba-pelumba ternama dunia lain untuk menang dengan catatan keseluruhan 30 jam 50.19 saat.

Pelumba Sepanyol dari pasukan Tinkoff, Alberto Contador kedua selepas hanya ketinggalan 7 saat diikuti pelumba Ireland, Daniel Martin (Etixx), ketiga.

Jaguh Britain yang juga pelumba Sky dan penyandang juara Tour de France, Chris Froome terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan selepas ketinggalan 46 saat.

Aksi Quitana selepas meraih kejayaan di Jelajah Catalonia. – AFP
Aksi Quitana selepas meraih kejayaan di Jelajah Catalonia. – AFP

“Ada begitu banyak emosi apabila berjaya menewaskan pencabar-pencabar saya. Ia memberikan saya keyakinan yang kami bekerja dengan baik,” kata Quintana yang seperti Froome berlumba buat pertama kali di Eropah, musim ini.

Begitupun, Quintana jelas tidak mahu terlalu membesar-besar kemenangannya pada perlumbaan berstatus World Tour itu.

“Saya memenangi Tour of Catalonia hanya dengan kelebihan tujuh saat, ia tidak cukup baik,” katanya.

Sementara itu di Lille, Perancis, pelumba basikal Belgium, Antoine Demoitie, 25, meninggal dunia selepas dilanggar motosikal akibat terjatuh ketika menyertai perlumbaan Gent-Wevelgem di Belgium, kata pihak polis.

“Pelumba itu terbunuh. Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sebabnya,” kata Frederic Evrard, jurucakap polis wilayah Nord-Pas-de-Calais di Perancis.

Demoitie dihantar ke hospital di Lille selepas kemalangan di Sainte-Marie-Cappel, selatan Perancis.

ARTIKEL YANG SAMA