Raba: Permohonan ikat jamin ditolak

Raba: Permohonan ikat jamin ditolak

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Seorang lelaki tempatan yang menghadapi tiga pertuduhan mencabul kehormatan, melakukan kekerasan dan melakukan perbuatan tidak senonoh ke atas seorang wanita, hari ini, membuat permohonan kepada Mahkamah Majistret, untuk sekali lagi dilepaskan dengan ikat jamin.

Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDSS Ustaz Haji Badaruddin meminta Mohamad Ashri bin Haji Pungut, 44, untuk memberikan alasan yang dapat meyakinkan mahkamah kenapa tertuduh perlu dilepaskan atas ikat jamin.

“Saya mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah dan juga seorang ibu yang sudah tua,” kata tertuduh sambil berjanji untuk mematuhi syarat-syarat ikat jamin kali ini.

Majistret Kanan bagaimanapun menolak permohonan tertuduh atas sebab tertuduh telah melanggar syarat-syarat ikat jamin yang terdahulu di mana dia didapati mendekati mangsa dan didakwa dengan pertuduhan tambahan.

Tertuduh menghadapi pertuduhan meraba payu dara mangsa berusia 40 tahun dan memukul kepalanya dua kali menggunakan lampu suluh di salah sebuah kedai elektronik di Kiulap kira-kira jam 8 malam pada 23 Mei 2015.

Tertuduh juga didakwa meraba punggung mangsa pada 31 Mei di kawasan letak kereta di Kiulap dan turut berdepan pertuduhan menunjukkan seluar dalamnya kepada mangsa di luar kawasan kedai elektronik tersebut pada 15 Mei 2015 kira-kira jam 6:30 petang.

Majistret Kanan menetapkan 13 Julai untuk sebutan semula.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shamshuddin bin Haji Kamaluddin.

ARTIKEL YANG SAMA