Rabies: S’wak catat 92 kes baru

KUCHING, 11 Ogos – Sarawak merekodkan 92 kes baharu gigitan haiwan merangkumi  42 kes  di Serian, 35 di Kuching, 12 di Samarahan dan tiga di Sri Aman.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak berkata, daripada jumlah itu, 84 kes melibatkan haiwan peliharaan iaitu anjing 43 kes dan kucing 40 kes manakala lapan kes lagi melibatkan haiwan liar iaitu anjing (4), kucing (3) dan tikus satu kes.

“Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan haiwan yang berlaku sejak 1 April hingga ke hari ini berjumlah 2,062 kes,” katanya.

Kenyataan itu juga menyebut secara kumulatifnya seramai 882 orang telah menerima suntikan vaksin anti rabies.

Sehingga kini wabak rabies di Sarawak telah meragut lima nyawa melibatkan  empat kanak-kanak dan seorang dewasa.

Sementara itu, mangsa terbaharu seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dari Kampung Kuala Gedong di Samarahan dilaporkan kritikal di Hospital Umum Sarawak.

 Perkara itu disahkan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Dr Sim Kui Hian dua hari lepas. – Bernama