Radikal terus jadi ancaman utama

Radikal terus jadi ancaman utama

pg01_160127_a

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Sikap radikal terus menjadi kebimbangan utama bagi agensi keselamatan di seluruh dunia dan akan terus kekal sebagai salah satu ancaman kuat yang dihadapi oleh rantau ini, terutamanya penggunaan meluas Internet sebagai alat dalam menyebarkan faham pelampau ganas dan propaganda radikal.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar berkata, kerana itu kerajaan Brunei Darussalam terus berjaga-jaga terhadap sebarang prospek pengganasan atau kegiatan berkaitan pengganasan daripada berlaku di negara ini, terutamanya di tengah fenomena pejuang-pejuang pengganas asing.

Dalam pernyataannya mengenai dasar ke atas penyingkiran sikap radikal pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Deradikalisasi (penyingkiran sikap radikal) dan Memerangi Ekstremisme Keganasan (IDC) 2016 di Kuala Lumpur, Malaysia kelmarin, beliau berkata, bagi Brunei Darussalam, dalam menangani secara berkesan menangani sikap radikal dan fahaman pelampau ganas, kita mestilah tidak mengabaikan hakikat bahawa sama ada fenomena ini adalah eksklusif terhadap mana-mana kumpulan atau agama mahupun ia tidak sentiasa bermotifkan agama.

Agensi perisikan dan penguat kuasa Brunei, katanya, akan terus belajar dan menggunakan amalan terbaik daripada rakan sejawat mereka melalui perkongsian pengetahuan dan pengalaman untuk meningkatkan strategi-strategi terkini, dasar dan juga program pemulihan yang sedang berjalan yang dikendalikan oleh kerajaan.

Menurut Dato Paduka Haji Hamdan, meskipun proses penyingkiran sikap radikal dan integrasi semula adalah tempoh panjang dan menilai keberkesanan usaha pemulihan mungkin tugas yang lama dan menggentarkan, Brunei dan seluruh dunia amat percaya bahawa usaha-usaha ini penting dalam memastikan keselamatan jangka panjang warganegara kita.

Persidangan selama dua hari itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan turut dihadiri perwakilan dari negara anggota ASEAN, Australia, Republik Rakyat China, Jepun, Perancis, Amerika Syarikat, United Kingdom, Itali, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Pada hari kedua persidangan, program dibahagikan menjadi empat sesi plenari dengan topik-topik masing-masing berkaitan dengan program penyingkiran sikap radikal di beberapa buah negara dan langkah yang diambil untuk mencegah dan menentang faham pelampau ganas yang dikongsikan oleh pakar-pakar dan ilmuan jemputan.

Anggota delegasi lain Brunei Darussalam yang menghadiri persidangan tersebut termasuklah para pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.