Radwanska capai misi

Radwanska capai misi

NEW YORK, 28 Ogos – Agnieszka Radwanska merasa gembira apabila misinya tercapai selepas mencatat kemenangan 6-1 7-6(1) ke atas Elina Svitolina pada final Terbuka Connecticut di New Haven, hari ini.

Pemain nombor empat dunia itu mengesahkan gelaran kedua beliau pada tahun ini dan kejuaraan kali ke-19 dalam Jelajah WTA.

Radwanska layak ke saingan terbabit menerusi ‘wild card’ untuk menjadikan kejohanan terbabit sebagai pemanas badan sebelum Terbuka Amerika Syarikat yang akan bermula esok dan pemain berusia 27 tahun itu menuju ke Flushing Meadows dengan keyakinan tinggi.

“Terima kasih kerana memberikan saya ‘wild card’,” kata Radwanska sambil ketawa ketika berucap selepas kemenangannya.

“Saya menghargai ‘wild card’ ini dan saya akan kembali lagi beraksi di sini pada tahun hadapan.”

Agnieszka Radwanska berjaya menewaskan lawan beliau Elina Svitolina dalam perlawanan akhir Terbuka Connecticut di New Haven, Connecticut. – AP
Agnieszka Radwanska berjaya menewaskan lawan beliau Elina Svitolina dalam perlawanan akhir Terbuka Connecticut di New Haven, Connecticut. – AP

Radwanska menamatkan set pertama dengan hanya 29 minit dengan Svitolina bergelut untuk melakukan servis.

Pemain Ukraine berusia 21 tahun itu memperbaiki corak permainan pada set kedua dengan beberapa pukulan kencang dan memiliki tiga peluang untuk memenangi set kedua namun tewas pada penentuan ‘tie break’.

Radwanska yang juga pilihan keempat pada Terbuka Amerika Syarikat bakal berdepan pemain tuan rumah, Jessica Pegula di pusingan pertama dengan prospek bertemu pilihan utama, Serena Williams di separuh akhir. – AFP