Rafa yakin Ramos kekal

Rafa yakin Ramos kekal

MELBOURNE, 23 Julai – Pengurus Rafael Benitez berkata beliau yakin ‘100 peratus’ bahawa Sergio Ramos akan kekal di Real Madrid biarpun terdapat spekulasi mengaitkan pemain itu dengan Manchester United.

Ramos, pemain antarabangsa Sepanyol, dikaitkan dengan pertukaran dengan penjaga gol negara itu, David De Gea, tetapi Benitez menegaskan pemain pertahanan itu tidak akan meninggalkan Real Madrid.

“Ia cukup mudah, De Gea bukan pemain kami, maka tidak ada apa-apa untuk dikatakan,” katanya kepada pemberita sebelum pertemuan Real Madrid dengan Manchester City pada final Piala Juara-Juara Antarabangsa di Melbourne esok.

“Perkembangan terkini mengenai Sergio Ramos ialah beliau pemain kami dan beliau pemain utama kami.

Beliau adalah kapten pasukan dan saya mahu melihat beliau pada permulaan musim dan saya rasa beliau penting untuk kami musim ini.

“Ya, saya yakin 100 peratus (beliau kekal). Saya tegaskan ia cukup jelas kepada saya dan kelab bahawa Sergio akan berada di sini,” jelas Benitez.

Laporan menyatakan Manchester United akan menggunakan minat Real Madrid terhadap De Gea dalam cubaan mendapatkan Ramos selepas percaya pemain pertahanan itu ingin berpindah selepas kelab Sepanyol itu gagal menawarkan sambungan kontrak beliau yang akan tamat pada 2017.

Ramos menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan ketika Real muncul pemenang Liga Juara-Juara selepas menewaskan Atletico Madrid pada 2014 dan telah membuat 445 penampilan untuk kelab sejak berhijrah dari Sevilla pada 2005.

Beliau meraih 128 kap untuk Sepanyol dan dalam kesebelasan utama apabila La Roja memenangi Euro 2008, Piala Dunia 2010 dan Euro 2012. Pemain tengah Croatia dan rakan sepasukan Luka Modric berkata, Ramos adalah bahagian penting pasukan.

“Kami berharap beliau kekal. Dia bahagian yang sangat penting dalam pasukan. Dia kapten kami, pemimpin kami di dalam dan di luar padang dan dia sentiasa gembira di mana dia berada. Dia pemain pertahanan terbaik dan mahu kekal bersama kelab,” tambah Modric. – AFP