Rafael Nadal berhempas pulas

Rafael Nadal berhempas pulas

NEW YORK, 3 Sept (AFP) – Rafael Nadal mencatat rekod kemenangan ke-22 dalam 23 penampilan terakhirnya di Terbuka Amerika Syarikat (AS) apabila menewaskan pemain liat dari Argentina, Diego Schwartzman 7-6 (7/5), 6-3, 7-5 bagi membolehkannya melangkah ke pusingan ketiga.

Bermain sebagai pilihan kelapan, juara Terbuka AS tahun 2010 dan 2013 itu bagaimanapun berhempas-pulas untuk menjinakkan Schwartzman apabila diasak bermula set pertama lagi untuk tie-break.

Susulan kemenangan itu, bintang tenis dari Sepanyol itu akan berdepan dengan pemain Itali, Fabio Fognini. Nadal pernah tewas kepada Fognini di Rio dan Barcelona tahun ini sebelum membalas dendam kekalahannya pada final di Hamburg, Julai lalu.

Nadal berjabat tangan dengan budak pemungut bola selepas menewaskan Diego Schwartzman semalam. – AFP
Nadal berjabat tangan dengan budak pemungut bola selepas menewaskan Diego Schwartzman semalam. – AFP

“Saya amat bertuah kerana berjaya mengharungi pusingan ini. Ia amat panas dan kering dan Diego amat agresif untuk merebut set pertama itu kerana ia sangat penting,” kata Nadal.

Nadal tidak beraksi di New York pada tahun 2012 dan 2014 kerana masalah kecederaan. Nadal dikerah empat set ketika bertemu pemain remaja Croatia, Borna Coric pada pusingan pertama Isnin lalu.

ARTIKEL YANG SAMA