Rafael Nadal cipta rekod baru

Rafael Nadal cipta rekod baru

BARCELONA, 25 April – Rafael Nadal berjaya menyamakan rekod pemain legenda Argentina, Guillermo Vilas bagi 49 gelaran di atas gelanggang tanah liat dengan memenangi Terbuka Barcelona kesembilan selepas mengatasi juara bertahan, Kei Nishikori 6-4, 7-5, awal pagi tadi.

Masih segar setelah memenangi Monte Carlo Master minggu lalu, Nadal sekarang memenangi 10 pertandingan pembukaannya bagi musim persaingan gelanggang tanah liat Eropah menjelang pemburuannya bagi memenangi rekod Terbuka Perancis ke-10 pada Jun depan.

Nishikori dalam keadaan kecewa kerana terlepas peluang break-point ketika 14 kemenangan berturut –turut pemain dari Jepun itu di Barcelona berakhir.

“Ia adalah tiga tahun yang menarik, walaupun saya tewas hari ini,” kata Nishikori.

“Saya berasa selesa di sini, setiap tahun saya merasa gembira, jadi saya berharap saya boleh kembali pada tahun depan.”

Rafael Nadal (kanan) yang memenangi kejohanan tersebut bergambar bersama Kei Nishikori. – AP
Rafael Nadal (kanan) yang memenangi kejohanan tersebut bergambar bersama Kei Nishikori. – AP

Sama ada dua pilihan utama telah melepaskan satu set dalam laluan mereka ke final.

Nishikori bermula dengan cemerlang, tetapi menghasilkan kesilapan untuk menyerahkan Nadal break lebih awal bagi kedudukan 3-1 pada set pertama.

Pemain nombor enam dunia kembali memberikan saingan dengan beberapa pukulan forehand untuk menyamakan kedudukan 3-3, tetapi Nadal menjarakkan jurang mata pada 0-40 untuk berada di depan 4-3 dalam servis seterusnya.

Dan satu lagi permainan hambar dari Nishikori menyerahkan Nadal break yang diperlukannya untuk melengkapkan kedudukan 6-4.

Nishikori berjaya untuk menghasilkan break pada peluang pertama bagi set kedua, tetapi kali ini Nadal memberikan respons dengan permainan terbaiknya untuk bangkit dalam dua kejayaan pada kedudukan 4-1.

Namun, persaingan sengit mencatatkan satu lagi keadaan ketika pukulan Nishikori membolehkannya kembali menyamakan kedudukan 4-4.

Nadal terlepas mata penamat pertamanya pada kedudukan 5-4, tetapi tidak perlu menunggu lama ketika Nishikori menawarkan dua lagi dalam servisnya dan meletakkan nasibnya apabila pukulan forehand tersekat di jaring. – AFP