Rafael Nadal optimis

Rafael Nadal optimis

CINCINNATI, 19 Ogos – Rafael Nadal yang berada dalam kedudukan positif masih optimis ketika memulakan persediaan terakhir Terbuka AS, dengan pemain nombor lapan dunia dari Sepanyol itu menegaskan dia sedang bekerja keras menukar musim ini menjadi kejayaan.

Pemenang Grand Slam 14 kali itu bersaing minggu ini di ATP dan WTA Cincinnati Masters yang dimenanginya pada 2013.

Selepas kecederaan yang merehatkannya separuh musim 2014, pemain berusia 29 tahun itu bergelut sepanjang tahun untuk menghasilkan peningkatan kepada ranking yang jatuh kepada kedudukan ke-10 selepas gagal memenangi gelaran ke-10 Roland Garros Jun lalu.

“Bahagian terakhir musim ini penting. Saya mahu menamatkannya dengan perasaan yang lebih baik berbanding apabila saya bermula,” kata pilihan kelapan itu. “Minggu ini penting bagi saya.”

Nadal tiba di Midwest selepas tewas suku akhir Montreal kepada Kei Nishikori dari Jepun, yang menarik diri daripada pertandingan AS kerana kecederaan paha yang seharusnya pulih untuk Terbuka AS dalam tempoh dua minggu sahaja lagi.

“Saya beraksi ok di Montreal tetapi setiap minggu ujian berbeza – cerita berlainan. Saya bekerja lebih keras berbanding sebelumnya untuk menukar dinamik,” kata Nadal. – AFP

Nadal semasa berlatih untuk kejohanan Masters Cincinnati semalam. – AFP
Nadal semasa berlatih untuk kejohanan Masters Cincinnati semalam. – AFP