Rafale kembali selepas sedekad

Rafale kembali selepas sedekad

SINGAPURA, 18 Feb (Bernama) – Selepas lebih sedekad, pengeluar pesawat Perancis, Dassault Aviation membuat penampilan khas ‘Rafale’, jet pejuang pelbagai peranan mereka, dalam Pameran Udara Singapura (SA) 2016.

Dikendalikan oleh juruterbang Perancis, Kapten Benoit Planche, beliau mencuri perhatian penonton dengan melakukan pelbagai aksi aerobatik termasuk ‘slow pass slow loop, ‘split 5’, ‘barrel Roll in-Dumble’, dan ‘clover leaf’.Rafale adalah antara tiga tentera udara yang membuat pertunjukan aerobatik dalam SA 2016 selain Angkatan Udara Singapura dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Menurut Planche, yang menggunakan isyarat panggil ‘Kapten Tao’, pertunjukan aerobatik adalah untuk mempamerkan kepada penonton tentang pesawat Rafale yang mampu melaksanakan pengurusan serentak semua misi termasuk udara-ke-udara, udara-ke-permukaan dan operasi berasaskan tentera laut.

Jet pejuang Perancis, Dassault Rafale, menyertai pertunjukkan udara pada Pameran Udara Singapura di Changi, semalam. – AFP
Jet pejuang Perancis, Dassault Rafale, menyertai pertunjukkan udara pada Pameran Udara Singapura di Changi, semalam. – AFP

Planche adalah juruterbang pertunjukan solo yang bertanggungjawab mengendalikan pesawat Rafale semasa pertunjukan aerobatik pada majlis itu dengan kehadiran seorang lagi juruterbang pertunjukan solo dari Tentera Udara Perancis, Kapten Cedric Ruet.

Acara SA 2016 yang berlangsung enam hari adalah pameran aeroangkasa dan pertahanan terbesar di Asia yang berlangsung di Pusat Pameran Changi di sini dari 16 hingga 21 Feb.