Rai 3 acara dalam 1 majlis

Rai 3 acara dalam 1 majlis

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jun – Seramai 34 murid-murid Tahun 4 hingga 6 Sekolah Rendah Sinar Matahari, Beribi Gadong, Kawasan Beribi III, hari ini diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Jerudong, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu khas yang juga mengetuai bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis ialah Pemangku Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali.

Juga hadir ialah Pengarah Sekolah Sinar Matahari, Hajah Fatimah binti Haji Aziz, bersama wakil-wakil dari Jabatan Pengajian Islam dan Jabatan Pendidikan Swasta serta guru-guru sekolah dan ibu bapa.

Majlis juga diselajurkan dengan Majlis Penyampaian Derma kepada empat orang anak-anak yatim yang bersekolah di sekolah berkenaan.

Sekolah Rendah Sinar Matahari meraikan Majlis Khatam Al-Quran, saudara baru dan penyampaian derma yang berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.
Sekolah Rendah Sinar Matahari meraikan Majlis Khatam Al-Quran, saudara baru dan penyampaian derma yang berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.

Sumbangan yang disampaikan itu adalah hasil kutipan daripada guru-guru dan murid-murid sekolah tersebut.

Di samping itu, acara berkenaan turut meraikan salah seorang guru berbangsa Filipina yang baru memeluk agama Islam yang memilih nama Islamnya Siti Aminah binti Abdullah.

Majlis penyampaian derma itu adalah acara tahunan yang diadakan bagi membantu anak-anak yatim yang belajar di sekolah tersebut manakala majlis meraikan pelajar khatam Al-Quran dan guru yang baru memeluk agama Islam adalah buat kali pertama ia diadakan dalam tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA