Rai Hari Perwira, Bahasa

Rai Hari Perwira, Bahasa

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam, memperingati Hari Perwira dan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2016 dengan mengadakan majlis menaikkan bendera separuh tiang, sesi perjumpaan dan Doa Selamat di suruhanjaya berkenaan, Jalan Sungai Akar, hari ini.

Lebih daripada 50 orang warganegara Bangladesh yang berkerja dan menetap di Negara Brunei Darussalam menghadiri majlis perjumpaan itu yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mohammed Abdul Hye.

Majlis dimulakan dengan upacara menaikkan bendera negara Bangladesh separuh tiang yang disempurnakan oleh TYT Mohammed Abdul Hye sambil disaksikan oleh pegawai dan kakitangan Suruhanjaya Tinggi, para jemputan lain dan warganegara Bangladesh.

Pada sesi perjumpaan itu, ucapan daripada Presiden Bangladesh, Tuan Yang Terutama Abdul Hamid, Perdana Menteri Bangladesh Puan Yang Terutama Sheikh Hasina, Menteri Hal Ehwal Luar Bangladesh, Tuan Yang Terutama Abdul Hassan Mahmood Ali dan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar II, Tuan Yang Terutama Mohammed Shahriar Alam telah dibacakan.

TYT Mohammed Abdul Hye menyampaikan pesanannya pada majlis berkenaan.
TYT Mohammed Abdul Hye menyampaikan pesanannya pada majlis berkenaan.
Sebahagian komuniti Bangladesh yang menghadiri majlis itu.
Sebahagian komuniti Bangladesh yang menghadiri majlis itu.

Dalam perjumpaan itu, TYT Mohammed Abdul Hye menyentuh mengenai signifikan hari yang diraikan itu dan mengulas mengenai aspek sejarah Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa dalam mempromosikan penggunaan bahasa ibunda dalam kalangan generasi baru masyarakat Bangladesh.

Mereka yang hadir pada majlis itu terdiri daripada golongan profesional termasuk doktor dan jurutera yang turut berkongsi pendapat mengenai hari itu dan sejarah bahasa ibunda mereka.

Hari Perwira dan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa diraikan sebagai penghormatan kepada pengorbanan perwira Bangladesh yang telah berjuang untuk mempertahankan bahasa ibunda mereka.

ARTIKEL YANG SAMA