Rai hubungan diplomatik Brunei-Rusia

Rai hubungan diplomatik Brunei-Rusia

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Kedutaan Republik Persekutuan Rusia malam ini telah mengadakan Majlis Resepsi sempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hubungan Diplomatik ke-25 tahun Brunei-Rusia yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan Datin.

Duta Besar Republik Persekutuan Rusia ke Brunei Darussalam, Vladlen Stanislavovich Semivolos semasa menyampaikan ucapan pada majlis itu telah menyentuh mengenai kerjasama di antara Brunei dan Rusia untuk menjadikan rantau Asia-Pasifik stabil, aman dan makmur.

Menurut beliau, kedua-dua buah negara telah bekerjasama dalam usaha memastikan keselamatan dan keamanan Asia-Pasifik dengan mempromosikan lagi inisiatif bersama China dalam mengukuhkan kerjasama keselamatan dan pembangunan di rantau ini.

Beliau juga berkata, tahun 2016 adalah sebagai tahun istimewa bagi hubungan Brunei dan Rusia yang ditandakan dengan peningkatan pertukaran peringat tinggi, termasuk persidangan Rusia-ASEAN Mei lalu di Sochi yang digambarkan oleh kedua-dua belah pihak sebagai kejayaan penting bagi pembangunan hubungan dua hala.

Yang Berhomat Pehin Haji Suyoi dan Datin menyempurnakan pemotongan kek Ulang Tahun Hubungan Diplomatik 25 tahun Brunei-Rusia bersama Vladlen Stanislavovich Semivolos dan isteri.
Yang Berhomat Pehin Haji Suyoi dan Datin menyempurnakan pemotongan kek Ulang Tahun Hubungan Diplomatik 25 tahun Brunei-Rusia bersama Vladlen Stanislavovich Semivolos dan isteri.
Vladlen Stanislavovich Semivolos menyentuh mengenai kerjasama di antara Brunei dan Rusia dalam ucapannya.
Vladlen Stanislavovich Semivolos menyentuh mengenai kerjasama di antara Brunei dan Rusia dalam ucapannya.

Selain itu, tambah beliau, pada Mei lalu, Menteri Kebudayaan Rusia, Vladimir Medinsky dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof telah menandatangani memorandum persefahaman kerjasama, sebagai platform meningkatkan pertukaran dua hala dalam bidang budaya dan seni.

Manakala itu, institusi-institusi pengajian tinggi Rusia termasuk St. Petersburg State University, Moscow State University of International relations dan Federal Far Eastern University ketika ini dalam proses menubuhkan hubungan kerjasama dengan Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan kerjasama kolaborasi di antara Universiti Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Russian Council of Muftis.

Beliau turut menekankan, ketika ini, perundingan dua dokumen penting akan dimuktamadkan iaitu memorandum persefahaman antara Kementerian Pendidikan dan Science of the Russian Federation bagi kerjasama pendidikan tinggi dan sains serta perjanjian pengecualian visa antara kerajaan.

“Kami yakin dokumen ini akan membuka era baru dalam pertukaran pelajar, akademik dan pertukaran pelancong secara dua hala,” ujarnya.

Majlis resepsi berkenaan turut menyaksikan Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan Vladlen Stanislavovich Semivolos berserta isteri masing-masing memotong kek Ulang Tahun Hubungan Diplomatik ke-25 tahun Brunei-Rusia.