Rai Lebaran bersama warga emas

Rai Lebaran bersama warga emas

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 25 Julai – Dengan hasrat untuk mengeratkan lagi silaturahim dengan penduduk kampung terutama sekali dalam kalangan warga emas yang menerima Skim Gaji Pencen Tua, Ketua Kampung Pandan C, Haji Affendy bin Haji Awang Damit telah menganjurkan Majlis Ramah Mesra Hari Raya.

Majlis bersempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di RPN Kampung Pandan C itu dihadiri oleh kalangan warga emas yang mengambil gaji pencen tua mereka, hari ini.

Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan ucapan Selamat Hari Raya daripada ketua kampung, dan membukakan peluang untuk sesi soal jawab, serta bertukar-tukar pandangan berkaitan dengan kemajuan kampung.

Sebagai mendoakan mereka yang telah pergi untuk selamanya, majlis itu juga telah diteruskan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah yang dipimpin oleh Awang Asmalee bin Saidin, salah seorang penerima bantuan kebajikan bulanan yang dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) Daerah Belait.

Majlis tersebut merupakan kali kedua diadakan, selepas tahun lalu, juga diteruskan dengan penyampaian gaji pencen tua kepada warga yang menerimanya di kampung berkenaan.

Antara yang menghadiri majlis Hari Raya bersama warga emas yang diadakan di kediaman Ketua Kampung Pandan C.
Antara yang menghadiri majlis Hari Raya bersama warga emas yang diadakan di kediaman Ketua Kampung Pandan C.
Ketua Kampung Pandan C semasa menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya kepada yang hadir.
Ketua Kampung Pandan C semasa menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya kepada yang hadir.

Pada malis itu, warga emas yang diraikan, turut disajikan hidangan dengan hasrat supaya sedikit sebanyak dapat menggembirakan mereka, di musim sambutan Hari Raya ini, serta berpeluang bertemu dengan rakan-rakan yang sama-sama mengambil pencen gaji tua setiap bulan.

Beberapa orang warga emas yang sempat ditemui memberitahu, dengan adanya majlis seperti itu, mereka berpeluang berjumpa kawan-kawan, kerana tiada kesempatan berkunjung ke rumah mereka, selain berpeluang beramah mesra dengan ketua kampung dan bertukar-tukar fikiran sambil beramah mesra mengenai dengan kebajikan kampung dan kemajuannya daripada pandangan warga emas yang lebih berpengalaman.

ARTIKEL YANG SAMA