Rai Majlis Perpisahan

Rai Majlis Perpisahan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mei – Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B) Muhammad Zareef Malik, yang akan menamatkan perkhidmatan di negara ini telah diraikan dalam majlis perpisahan dan makan tengah hari yang berlangsung di Restoran Vanda, Hotel Orchid Garden, petang tadi.

Majlis anjuran ketua-ketua perwakilan diplomatik ke Negara Brunei Darussalam yang bertujuan untuk memberikan penghargaan dan rasa terima kasih kepada TYT Brigedier Jeneral (B) Muhammad Zareef Malik terhadap bantuan, sokongan dan perkhidmatan yang telah diberikan dalam sama-sama membangunkan negara ini.

Tuan Yang Terutama semasa ditemui pihak Media Permata mengucapkan rasa berbesar hati kerana telah diberikan peluang untuk berkhidmat di Negara Brunei Darussalam yang merupakan sebuah negara yang aman, makmur dan indah suasananya bersama penduduk masyarakat yang baik.

Menurut beliau lagi, Brunei dan Pakistan begitu gembira atas hubungan persahabatan kukuh yang telah diwujudkan melalui pelbagai bidang seperti kesihatan, pendidikan dan juga pertahanan.

TYT Brigedier Jeneral (B) Muhammad Zareef Malik ketika diraikan dalam majlis perpisahan itu.
TYT Brigedier Jeneral (B) Muhammad Zareef Malik ketika diraikan dalam majlis perpisahan itu.

Tuan Yang Terutama berkata, beliau amat menantikan dan teruja akan pembangunan Negara Brunei Darussalam pada masa akan datang dan juga masa terdekat ini, serta menyatakan bahawa Pakistan akan sentiasa bersedia untuk membantu Brunei kerana negara ini turut memainkan peranan yang penting di rantau ini.

Pada majlis itu, Duta Besar Kemboja ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Chhay Sokhan turut menyampaikan ucapan perpisahan buat TYT Brigedier Jeneral (B) Muhammad Zareef Malik dan berharap beliau akan sentiasa berada dalam keadaan yang sihat dan sentiasa gembira serta mencapai kejayaan dalam kerjayanya pada masa akan datang.

TYT Brigedier Jeneral (B) Muhammad Zareef Malik telah menyembahkan surat tauliah pelantikannya kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 15 Mei 2014 dan sebelum ini beliau pernah berkhidmat di Kementerian Pertahanan, Republik Islam Pakistan.

ARTIKEL YANG SAMA