Rai pelanggan, rakan Baiduri

Rai pelanggan, rakan Baiduri

Oleh Izah Azahari

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Kira-kira 500 pelanggan, ahli dan rakan-rakan perniagaan daripada komuniti India telah diundang bagi menghadiri Makan Malam Tahunan Deepavali (Festival Cahaya) Kumpulan Bank Baiduri di Dewan Utama Indera Samudra, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, malam kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr. Ashok Kumar Amrohi.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pierre Imhof dalam ucapan alu-aluannya, menyatakan terima kasih dan rasa penghargaannya kepada para tetamu atas sokongan dan keyakinan mereka selama bertahun-tahun, sambil menggariskan kemajuan besar dan pencapaian Kumpulan Bank Baiduri tahun ini.

“Kami akan terus melabur dalam perniagaan kami, kerana kami percaya akan industri kewangan Baiduri pada masa hadapan,” ujar Pierre Imhof.

TYT Dr. Ashok Kumar Amrohi, Pierre Imhof bersama para tetamu yang lain di Majlis Makan Malam Tahunan Deepavali di Dewan Utama Indera Samudra, The Empire Hotel & Country Club, kelmarin.
TYT Dr. Ashok Kumar Amrohi, Pierre Imhof bersama para tetamu yang lain di Majlis Makan Malam Tahunan Deepavali di Dewan Utama Indera Samudra, The Empire Hotel & Country Club, kelmarin.
TYT Dr. Ashok Kumar Amrohi ketika menerima cenderahati daripada Pierre Imhof.
TYT Dr. Ashok Kumar Amrohi ketika menerima cenderahati daripada Pierre Imhof.

Pierre Imhof turut mendedahkan Bank Baiduri pada tahun ini saja telah menerima empat anugerah besar perbankan iaitu Bank Runcit Domestik bagi Brunei 2015; Inisiatif Perbankan Mudah Alih Terbaik untuk Brunei 2015 daripada Asian Banking dan Finance Magazine, Kumpulan Perbankan Terbaik Brunei 2015 daripada World Finance Magazine dan Bank Paling Selamat Brunei 2015 oleh Global Finance.

Ucapan Pierre Imhof itu disusuli dengan pertunjukan video dan ucapan ringkas daripada tetamu kehormat yang kemudian memeriahkan majlis cahaya tradisional bersama-sama Yang Dimuliakan Pehin Dato Haji Mahdini bin Dato Paduka Haji Basir, Pierre Imhof, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dan anggota komiti pengurusan.

Sepanjang malam itu, para tetamu juga dihiburkan dengan pelbagai persembahan nyanyian, tarian daripada artis-artis tempatan, kanak-kanak sekolah dan kakitangan bank, dengan acara kemuncaknya penyampaian hadiah cabutan bertuah daripada Pierre Imhof dan TYT Dr. Ashok Kumar Amrohi.

Majlis malam itu juga dihadiri para tetamu terdiri daripada diplomat asing, ketua-ketua ahli perniagaan India dan ahli profesional yang bekerja di Brunei, serta rakan dan pelanggan setia bank berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA