Rai Raya bersama pelanggan

Rai Raya bersama pelanggan

Oleh Siti Nur Wasimah S., Pg Fairol RMF, Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Ogos – Aidilfitri lazimnya diraikan bersama sanak saudara dan sahabat handai, namun konsep Pejabat Terbuka membolehkan ia diraikan bersama rakan sekerja dan rakan berkepentingan atau pelanggan sesebuah syarikat.

Di antara syarikat yang memeriahkan Aidilfitri hari ini, bersama para tetamu undangan, termasuklah Takaful Brunei Darussalam dan anak-anak syarikatnya; Takaful Brunei Am (TBA) dan Takaful Brunei Keluarga (TBK) yang diadakan di Royal Berkshire, Polo Club Jerudong.

Acara tahunan ini dihadiri oleh Pengerusi Brunei Takaful, Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud dan Pemangku Pengarah Urusan Takaful Brunei, Haji Shahrildin bin POKLUDP Haji Jaya bersama ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Badan Penasihat Syariah.

Pejabat Terbuka syarikat ini membawa tema ‘Takbir Syukur’ bertujuan menghargai kesetiaan dan sokongan berterusan pihak berkepentingan dan pelanggan.

Ia juga dihasratkan dapat mengeratkan lagi hubungan antara pegawai dan kakitangan Takaful Brunei dengan para pelanggannya.

Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad bersama para tetamu Majlis Pejabat Terbuka anjuran Takaful Brunei Darussalam kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad bersama para tetamu Majlis Pejabat Terbuka anjuran Takaful Brunei Darussalam kelmarin.
Antara Jemputan yang hadir di Majlis Pejabat Terbuka Takaful Brunei Darussalam kelmarin.
Antara Jemputan yang hadir di Majlis Pejabat Terbuka Takaful Brunei Darussalam kelmarin.

Sementara itu, BAG Network Sdn Bhd juga tidak ketinggalan meraikannya bersama rakan sekerja dan para jemputan dalam sambutan yang berlangsung di Restoran Tarindak D’ Seni, Bandar Seri Begawan.

Lebih 300 jemputan dan rakan sekerja menghadiri Pejabat Terbuka itu yang dialu-alukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif BAG Network, Dayang Haslina binti Haji Mohd Taib.

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah BAG Network, Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Pesuruhjaya Tinggi Australia Tuan Yang Terutama Todd Mercer dan Timbalan Setiausaha Tetap (Teknologi) di Kementerian Pertahanan Haji Azhar bin Haji Ahmad.

TYT Todd Mercer (kiri) dan Dayang Haslina Taib semasa menghadiri Pejabat Terbuka syarikat BAG Network di Tarindak D’Seni.
TYT Todd Mercer (kiri) dan Dayang Haslina Taib semasa menghadiri Pejabat Terbuka syarikat BAG Network di Tarindak D’Seni.
Antara para jemputan yang meraikan Aidilfitri di Majlis Pejabat Terbuka Syarikat BAG Network.
Antara para jemputan yang meraikan Aidilfitri di Majlis Pejabat Terbuka Syarikat BAG Network.

Majlis tahunan itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti pengenalan Kaligrafi Jawi, permainan Rima Raya dan Jangan Lupa Lirik oleh kakitangan BAG Network, persembahan Guling Tangan daripada Kumpulan Canang 9 dan pondok gambar kenangan bagi jemputan yang ingin merakamkan gambar kenang-kenangan mereka secara percuma.

Ia juga bertujuan mengeratkan lagi silaturahim antara kakitangan dan para jemputan, termasuklah pelanggan dan pihak berkepentingan korporat.

Manakala, Telekom Brunei Berhad (TelBru) pula telah mengadakan Pejabat Terbuka bagi menghargai para pelanggannya di kesemua cawangannya di keempat-empat daerah.

Pelbagai hidangan telah disajikan buat para pelanggan yang singgah ke cawangan-cawangan TelBru untuk membayar bil atau bertanyakan perkhidmatan mereka.

Antara pegawai dan kakitangan TelBru yang berada di pejabat terbuka di Kedai TelBru, Citis Square, Berakas.
Antara pegawai dan kakitangan TelBru yang berada di pejabat terbuka di Kedai TelBru, Citis Square, Berakas.
Para pelanggan TelBru yang hadir, dihidangkan dengan pelbagai juadah sempena Hari Raya Aidilfitri.
Para pelanggan TelBru yang hadir, dihidangkan dengan pelbagai juadah sempena Hari Raya Aidilfitri.

Ia bertujuan untuk menyambut bulan Syawal bersama kakitangan TelBru di cawangan-cawangan yang terlibat.

Hadir bagi mengetuai sambutan itu yang bermula di Kedai TelBru di Citis Square, Berakas ialah Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat TelBru, Hajah Rosmawati binti Haji Abdul Manaf bersama kakitangan pengurusan kanan yang lain di setiap cawangan yang terlibat di keempat-empat daerah.

ARTIKEL YANG SAMA