Rai ulang tahun ke-85

Rai ulang tahun ke-85

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 28 Jun – Sekolah St John, Kuala Belait, yang merupakan sekolah tertua di Daerah Belait telah meraikan ulang tahunnya yang ke-85 tahun dengan majlis sambutan yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan, kelmarin.

Ahli Lembaga Pengarah Sekolah St John, Lee Yin Fah, semasa menyampaikan ucapan berkata, sejak kewujudannya pada tahun 1930, sekolah berkenaan telah mencapai kecemerlangan dalam sama-sama menyokong dan menyumbang pembangunan pendidikan di negara ini.

Menurut beliau, kewujudan sekolah itu hanya setahun lewat dengan sejarah penemuan minyak di Seria pada tahun 1929, dan menjadi sebuah sekolah yang turut memainkan peranan penting dalam pendidikan dan pembangunan akademik kepada masyarakat di Daerah Belait.

Beliau yang juga selaku pengerusi majlis, kemudian berkata, sekolah itu telah mencapai status sebagai sebuah sekolah swasta yang terkenal dalam kalangan masyarakat setempat dan juga pekerja ekspatriat di daerah ini.

Para guru, pelajar dan warga sekolah serta sebahagian ibu bapa pelajar menunjukkan kain rentang yang tergantung menghiasi dinding depan Sekolah St John sebagai tanda Sambutan Ulang Tahun ke-85 sekolah itu.
Para guru, pelajar dan warga sekolah serta sebahagian ibu bapa pelajar menunjukkan kain rentang yang tergantung menghiasi dinding depan Sekolah St John sebagai tanda Sambutan Ulang Tahun ke-85 sekolah itu.

Katanya lagi, sekolah tersebut yang bermula sebagai sebuah sekolah misi kini turut menyediakan kurikulum pendidikan negara SPN21 bagi menyumbang ke arah merealisasikan Wawasan Negara 2035 dan seterusnya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengetua sekolah, Dr Teh Keng Watt dan Ketua Pegawai Eksekutif sekolah, Anthony Liew, para ibu bapa dan penjaga pelajar dan warga sekolah.

Majlis sambutan ulang tahun berkenaan telah diserikan dengan pelancaran kain rentang di hadapan bangunan sekolah, yang bertulis “Raikan kejayaan, Sasarkan Kegemilangan Masa Depan”.

Selain majlis sambutan berkenaan, Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun ke-85 sekolah berkenaan juga akan diadakan pada 8 Ogos depan.

ARTIKEL YANG SAMA